MINUMAN kordial yang ditarik balik. FOTO ihsan Suntory Beverage & Food Malaysia
Rizanizam Abdul Hamid dan Hanafis Abd Haris
am@hmetro.com.my


SUNTORY Beverage & Food Malaysia Sdn Bhd menarik balik sementara semua produk Ribena Kordial dalam semua perisa dan saiz pek pada tarikh luput tertentu di pasaran berkuatkuasa 12 Ogos lalu.

Pengurus Besar Serantau Malaysia, Hong Kong dan Singapura, Lee Hon Tong berkata, penarikan sementara dibuat selepas pihaknya mengesyaki terdapat beberapa produk terdedah kepada udara ketika proses pembotolan di kilang pembuatannya.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, kami mengambil keputusan secara sukarela untuk menarik balik buat sementara semua produk Ribena Kordial dalam semua perisa dan saiz pek pada tarikh luput tertentu dari semua rakan dagang berkuatkuasa 12 Ogos.

"Di samping itu, kami telah memberhentikan penghantaran semua Ribena Kordial dari kilang pembuatan kami di Shah Alam kepada semua rakan pengedar dan dagang," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, semua produk Ribena Kordial dalam semua perisa dan saiz pek yang ditarik balik adalah yang bertarikh luput Mei hingga Ogos 2018, Februari hingga 8 Mac 2018 dan April hingga Mei 2018.

"Bagaimanapun, semua Ribena Kordial dengan tarikh luput selain disebut tidak terbabit dalam penarikan balik ini. Produk seperti Sparkling Ribena, Pouch Pack, Minuman Kotak, Botol PET dan Pastil tidak terjejas dan masih terdapat di pasaran.

"Pengguna dinasihatkan supaya tidak meminum produk yang ditarik balik jika mempunyai rasa atau bau masam. Sebarang pertanyaan pengguna boleh menghubungi talian hotline kami di nombor 1800 88 6200," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 5:43 PM