JOKOWI (tengah). FOTO arkib NSTP
HM Digital

PRESIDEN Joko Widodo (Jokowi) meminta isu kedudukan warna bendera Indonesia yang terbalik dalam buku cenderamata Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur tidak dibesar-besarkan oleh rakyatnya.

Menurut detiknews, Jokowi dipetik berkata, walaupun insiden itu sangat mensyesalkan, ia tidak perlu dianggap berlebihan oleh semua masyarakat Indonesia.

"Kita sangat menyesalkan kejadian seperti itu.

"Tetapi tidak usah dibesar-besarkan lah," katanya di Jakarta, hari ini.

Namun, Jokowi berkata, beliau kini menunggu permohonan maaf secara rasmi dari Malaysia sebagai tindakan lanjut insiden itu.

"Kita menunggu permintaan maaf dari pemerintah Malaysia, kerana menyangkut sebuah kebanggaan, nasionalisme dari bangsa kita Indonesia. Kita tunggu permintaan maaf rasmi," katanya.

Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) menerusi satu kenyataan, malam tadi, sudah menyatakan permohonan maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin turut membuat kunjungan ke atas rakan sejawatnya, Imam Nahrawi, hari ini, untuk sekali lagi mohon maaf bagi pihak MASOC.

Khairy sebelum itu sudah meminta maaf atas kesilapan berkenaan bagi menjawab teguran pedas Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi di Twitter.

Berita berkaitan:

‘Tidak disengajakan, tiada niat buruk’

Polis siasat isu bendera Indonesia terbalik

'Saya amat kesal dengan kesilapan ini'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 2:21 PM