Detik Khairul Hafiz memenangi emas sebagai raja pecut 100 meter di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini. - Foto AIZUDDIN SAAD
Mohd Khairie Khalid


“TERIMA kasih kepada semua rakyat Malaysia, jurulatih (Mohd Poad Md Kassim). Saya gembira sangat, tak tahu nak cakap apa dan ini hadiah untuk ayah, keluarga dan semua rakyat Malaysia.”

Kata Khairul Hafiz Jantan yang kini pelari terpantas Asia Tenggara, menamatkan kemarau pingat emas 14 tahun acara riben biru apabila menjuarai pecut 100 meter (m) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

“Saya rasa gementar namun bersyukur mampu dapatkan pingat emas. Alhamdulillah janji saya kepada jurulatih dan semua penyokong untuk mendapatkan pingat emas, terhasil.

“Kejayaan ini amat isitimewa kerana ini penyertaan pertama saya di Sukan SEA dan berjaya mendapat pingat emas,” katanya.

Pelari muda berusia 19 tahun itu mengungguli acara itu dengan catatan 10.38s, mengalahkan juara bertahan Eric Cray yang mencatat 10.43s manakala gangsa milik Kritsada Namsuwun dari Thailand, juga 10.43s.

Khairul turut meminta semua rakyat Malaysia mendoakan kejayaannya dalam acara 200m dan 4x100 bersama rakan pasukan selepas ini.


Khairul Hafiz Jantan (kanan) meraikan kejayaannya memenangi pingat emas diperhatikan atlet Filipina, Eric Cray yang menang perak. - Foto OSMAN ADNAN

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara 100m dan 200m ialah di Sukan SEA 2003 Hanoi, Vietnam menerusi Nazmizan Muhammad.

Rekod Sukan SEA acara pecut 100m ketika ini masih menjadi milik atlet Indonesia, Suryo Agung Wibowo dari Indonesia (10.17s) yang dicipta di Sukan SEA Laos pada 2009.

Khairul Hafiz yang digelar The Speedy Jantan adalah pemegang tiga rekod kebangsaan acara 100m (10.18s), 200m (20.90s) dan 4x100m (39.62).

Pada akhir 100 meter malam ini, antara pelari yang turut menyertai Khairul Hafiz ke final ialah juara 2015, Eric Shauwn Cray dari Filipina, pemenang perak 2015 Yaspi Boby (Indonesia), pemilik gangsa 2015 Iswandi dari Indonesia, juara Sukan SEA Myanmar 2013 Jirapong Meenapra (Thailand), Kang Li Loong, (Singapura), Jonathan Nyepa (Malaysia) dan Kritsada Namsuwun (Thailand).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 11:27 PM