GELAGAT McGregor (kanan) bertekak dengan Mayweather ketika sidang akhbar di Los Angeles, bulan lalu.
Reuters

Melbourne: Petinju Australia Jeff Horn tidak meletakkan harapan tinggi terhadap Conor McGregor untuk menewaskan Floyd Mayweather dalam pertarungan hebat Ahad ini dan berharap bintang Amerika Syarikat itu akan menewaskan atlet seni mempertahankan diri gabungan demi maruah sukan tinju.

Horn, yang muncul juara welterweight WBO dengan menewaskan Manny Pacquiao,38, di Brisbane bulan lalu berkata, McGregor pastinya bergelut biarpun untuk melayangkan penumbuk kepada petinju AS itu.

Mayweather (49-0) sudah tidak bertarung selama hampir dua tahun tetapi dia menjadi pilihan utama untuk mengatasi rekod Rocky Marciano di Las Vegas, yang ditolak penyokong daripada menjadi perlawanan pertunjukan.

“Saya harap Mayweather akan menumbangkannya dan saya fikir dia mampu melakukannya,” kata Horn menerusi komen yang disiarkan media News Ltd semalam.

“Ia pastinya sesuatu yang dahsyat untuk sukan tinju jika Mayweather, salah seorang petinju terbaik sepanjang zaman ditumbangkan lawan yang beraksi buat pertama kali tetapi saya tidak lihat McGregor akan melakukannya dengan baik biarpun dengan semua tumpuan itu.

“Jika McGregor sedar diri, dia akan menjatuhkan Floyd seawal loceng pertama dan menguncinya, penyertaannya akan dibatalkan, kemudian akan mengadakan perlawanan semula dan mengumpul lebih banyak wang.”

Perlawanan Ahad ini dikatakan mahu memecahkan rekod tontonan berbayar dan keuntungan yang dicatat menerusi pertarungan Mayweather-Pacquiao pada 2015.

Kemenangan Mayweather ke atas peninju Filipina itu menjana lebih daripada AS$400 juta (RM1.71 bilion) daripada sejumlah 4.6 juta tontonan berbayar.

Selepas kemenangan Horn ke atas Pacquiao, petinju Australia itu segera mahu mencabar Mayweather, cuba mengumpan perhatian petinju berusia 40 tahun itu.

Horn, bekas seorang guru dijangka kembali menentang Pacquiao di Brisbane akhir tahun ini tetapi berkata dia berminat terhadap Mayweather.

“Dia mungkin boleh mencabar saya untuk gelaran welterweight dunia dan jika McGregor mahu menantang saya, saya sedia menentangnya sekarang. Saya tidak gentar sedikitpun,” kata petinju berusia 29 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 5:46 AM