Ezuan raih emas acara 50 meter rifle. FOTO OSMAN ADNAN
Ezuan raih emas acara 50 meter rifle. FOTO OSMAN ADNAN
Aziman Rosdi


ATLET menembak negara Ezuan Nasir Khan mengetepikan cabaran sengit atlet Singapura, Ong Jun Hon pada final acara 50 meter rifle prone individu lelaki untuk meraih emas menerusi catatan mata 242.80 mata di Lapang Sasar Menembak Subang, hari ini.

Dia meninggalkan pencabarnya itu dengan kelebihan 3.3 mata manakala gangsa menjadi milik atlet Myanmar Kaung Htike yang membidik 220.2 mata.

Ia pingat emas ketiga skuad menembak negara selepas kejayaan Alia Sazana Azahari dalam acara 25m pistol individu wanita dan Benjamin Khor dalam acara double trap individu lelaki.

Kejayaan Ezuan menebus kekecewaan kem menembak negara dalam dua acara final yang berlangsung awal pagi tadi selepas Bibiana Ng meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter air pistol wanita individu.

Nur Suryani Taibi dan Haslisa Hamed gagal menaiki podium dalam acara 50m rifle prone individu wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 2:06 PM