SUKARELAWAN Muslim Care mengadakan sesi suai kenal dan memberi sumbangan kepada pelajar sekolah.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sekolah mereput dimakan anai-anai, tiada kerusi dan meja, kesukaran mendapat bekalan makanan halal malah sering terputus bekalan air serta elektrik.

Itulah dialami sebahagian pelajar sekolah di Pulau Nias, Sumatera, Indonesia yang terpaksa mengharungi kehidupan serba daif namun pada masa sama gigih menuntut ilmu.

Menyedari hakikat itu, Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) bersama 21 sukarelawan pelajar Malaysia menuntut luar negara seperti Ireland, United Kingdom (UK), Indonesia, Korea Selatan, China serta dari Malaysia bekerjasama dalam program Muslim Care Global Charity Outreach di pulau itu, baru-baru ini.

Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan berkata, program tiga hari bermula 18 Ogos lalu menyantuni pelajar di sekolah menengah Pesantren Hidayatullah di Cabang Nias, Gunung Sitoli dan sekolah rendah MDTA Muhammadiyah Sifahandro di Nias Utara.

“Sebanyak 217 pakej sumbangan berupa makanan asasi, alat tulis, buku dan alat penjagaan diri disampaikan kepada pelajar di kedua-dua sekolah.

“Turut disampaikan sumbangan wang tunai bagi menambah baik prasarana sekolah untuk mencukupkan kerusi dan meja bagi kegunaan pelajar sekolah itu.

“Selain itu, atas jasa baik penderma budiman, 25 tilam dibeli bagi kegunaan pelajar asrama di Pesantren Hidayatullah,” katanya kepada Harian Metro.

Muslim Care sentiasa menjalankan program untuk golongan memerlukan di dalam dan luar negara, justeru orang ramai yang ingin membantu boleh terus menyalurkan sumbangan ke akaun Muslim Care di 1401401047470 (Bank Islam), 564490413882 (Maybank) dan 14010007654717 (Bank Muamalat).

Zulkifli berkata, penyumbang diminta memaklumkan sumbangan menerusi WhatsApp di talian 012-6935938 (Haji Zakaria), 016-9978323 (Haji Johari) atau 017-9235463 (Hafiz).

Mengenai misi ke Nias, beliau berkata, sumbangan dilaksanakan dalam bentuk peralatan kebersihan sekolah seperti penyapu, tong sampah dan mop bagi membantu kerja pembersihan sekolah.

“Sukarelawan turut menambah baik dan menghias perpustakaan mini di pesantren serta menyumbangkan papan tanda nama sekolah yang baru.

“Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik bagi pelajar di Pesantren Hidayatullah termasuk sesi suai-kenal, Bengkel Bahasa Inggeris, Explorace dan barbeku.

“Jelas tergambar kegembiraan pada wajah pelajar ketika menyambut kehadiran sukarelawan di pesantren mereka,” katanya.

Menurutnya, pelajar juga dijamu hidangan makanan sepanjang program dan kumpulan perubatan Muslim Care mengadakan sesi pemeriksaan kesihatan dihadiri 66 penduduk tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 9:03 AM