FARAH (kanan) mengatasi Chelimo (dua dari kanan), Muktar (ketiga, dua dari kiri) dan Yomif Kejelcha pada final lelaki 5,000m.
FARAH (kanan) mengatasi Chelimo (dua dari kanan), Muktar (ketiga, dua dari kiri) dan Yomif Kejelcha pada final lelaki 5,000m.
 FARAH meraikan kejayaannya dengan mengibarkan bendera Britain selepas memenangi  trofi pertama dalam Liga Berlian, kelmarin.
FARAH meraikan kejayaannya dengan mengibarkan bendera Britain selepas memenangi trofi pertama dalam Liga Berlian, kelmarin.
AFP

Zurich: Juara Olimpik empat kali Mo Farah menamatkan karier trek dengan penuh bergaya awal pagi semalam dengan kemenangan dalam acara 5,000m pada pusingan akhir Liga Berlian di Zurich manakala juara 100m dunia Justin Gatlin kecundang.

Farah, 34, yang juga juara dunia enam kali dan kini akan beralih kepada larian lebuh raya, mencatat 13 minit 06.05 saat untuk mengalahkan Paul Chelimo dari Amerika Syarikat dan Muktar Edris dari Habsyah.

Bagaimanapun, Chelimo kemudiannya dibatalkan kerana menghalang dan Yomif Kejelcha dari Habsyah dinaikkan ke tangga ketiga.

Kemenangan amat manis kerana Muktar mengalahkannya pada final 5,000m Kejohanan Dunia di London dua minggu lalu, menamatkan rentetan 10 pingat emas dimenanginya sejak Kejohanan Dunia 2011.

Ia juga kemenangan trofi pertama karier Farah dalam Liga Berlian.

“Saya mahu menang dan menakjubkan kerana saya mnang, tapi ia hasil kerja keras,” kata Farah.

“Saya akan rindukan trek, atlet dan penyokong saya. Saya seronok berlumba di stadium bertahun-tahun lamanya, tapi kini saya bergembira bersama keluarga.”

Ketika Farah menerima sanjungan penonton Zurich, ia ternyata malam yang mahu dilupakan pelari pecut kontroversi Amerika Syarikat, Gatlin yang meraih kejuaraan 100m dunia di London.

Gatlin, yang menjalani penggantungan doping empat tahun dari 2006-2010, tidak diejek seperti di London, yang mana dia menjejaskan parti perpisahan Usain Bolt, namun dia tewas di tangga keempat dengan masa 10.04s ketika pelari Britain, Chijindu Ujah menang dengan masa 9.97s.

Ujah, pelari kuartet 4x100m Britain yang menang pada Kejohanan Dunia, berakhir di depan pelari Ivory Coast, Ben Youssef Meite (9.97s) manakala Ronnie Baker dari AS melengkapkan podium (10.01s).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 8:19 AM