FARAHDHIYA. FOTO Sairien Nafis
Ramlah Zainal


Kali terakhir penyanyi dan pelakon Farahdhiya terbabit dengan projek teater ialah menerusi pementasan Terima Kasih Cinta (TKC) pada 2011.

Selepas enam tahun, kini Farahdhiya kembali beraksi dengan projek teater terbarunya, Bahara Emas yang bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 19 hingga 22 Oktober depan.

Secara peribadi, Farahdhiya mengakui dia mengambil masa yang panjang untuk berlakon teater kerana mendakwa masih fobia apabila ditipu penerbit eksekutif pementasan TKC sebelum ini.

“Siapa yang tidak fobia jika hasil kerja keras dan tenaga yang dicurahkan untuk menjayakan teater itu tidak dibayar sesen pun?

“Sudah bertahun-tahun saya meminta pihak terbabit membuat bayaran tetapi sampai sekarang dia masih gagal membuat bayaran dijanjikan.

“Terus terang, saya tidak halalkan wang yang ditipunya itu sampai bila-bila pun,” katanya.

Namun, kata Farahdhiya, apa yang menimpanya itu menjadi pengajaran dalam hidupnya.

“Mungkin sebab saya naif dan tidak fikir negatif terhadap pihak terbabit ketika itu. Memang saya menandatangani kontrak dengan pihak terbabit tetapi tidak tahu di mana kontrak berkenaan.

“Difahamkan pihak berkenaan juga juga sudah tidak terbabit dalam industri seni dan kini berada di Sarawak selepas teater TKC berakhir,” katanya.

Farahdhiya ditemui pada sidang media Teater Bahara Emas di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, penerbit teater Bahara Emas, Siti Rohayah Attan dan Dekan Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) selaku pengarah, Siti Rosminah Tahir.

Teater itu anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama CTRA Production, DBP, Istana Budaya dan ASWARA.

Cabar diri watak Tun Fatimah

Kekuatan watak Tun Fatimah dalam teater Bahara Emas berjaya membuka hati Farahdhiya untuk menerima tawaran daripada penerbit CTRA Production untuk berlakon dalam pementasan berkenaan.

Menurutnya, dia terima tawaran daripada penerbit teater itu kerana tertarik dengan naskhahnya.

“Sebenarnya, penerbit teater ini, Siti Rohayah Attan sudah menawarkan saya berlakon teater sejak beberapa tahun lalu. Dia juga tahu saya memang fobia berlakon projek teater sebelum ini.

“Secara kebetulan, kali ini saya ada kelapangan dan dapat memberikan komitmen pada masa direncanakan. Saya juga ingin menimba pengalaman bekerja dengan CTRA production dan setakat ini produksi ini ada rekod yang baik dengan pelakon dan bayaran. Selain jalan cerita, saya juga terima kerana mesej yang disampaikan dalam teater ini,” katanya.

Mengenai watak Tun Fatimah pula, kata Farahdhiya, dia nengakui ia bukan calang-calang dan memberi cabaran besar buatnya.

“Saya juga gementar untuk melakonkan watak Tun Fatimah. Selain buat kajian mendalam mengenai watak, saya juga perlu belajar bersilat untuk menjiwai karakter Tun Fatimah seperti dikehendaki skripnya,” katanya.

Selain Farahdhiya, teater ini dimantapkan dengan barisan pelakon seperti Esma Daniel, Amar Asyraf, Izzue Islam, kumpulan Forteen, Mardiana Alwi, Eyzendy Aziz, Zera Hariz, Aman Nasim dan Mubarak Majid.

Ditanya projek drama baru pula, kata Farahdhiya, dia mengakui lebih selektif dengan projek ditawarkan selepas program Gegar Vaganza.

“Saya masih berlakon dan ada beberapa tawaran projek drama baru tetapi dalam perbincangan lagi.

“Selain itu, saya juga masih memenuhi undangan persembahan untuk pihak korporat pada hujung minggu.

“Pada masa sama, saya juga masih mempromosikan single baru untuk diputarkan stesen radio tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 7:14 AM