NIK Zawati melihat keadaan kaki Muhammad Aizat Aiman.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Tidak semua insan bernasib baik dalam kehidupan mereka termasuk seorang remaja dari Kampung Sering, di sini yang terpaksa melupakan persekolahan kerana menghidap penyakit saraf hingga hilang upaya berjalan.

Muhammad Aizat Aiman Zamrooh, 16, hanya sempat menghabiskan persekolahannya di tahun lima sebelum mengambil keputusan berhenti selepas lumpuh seluruh badan.

Menurut ibunya, Nik Zawatir Nik Will, 36, anak sulung daripada dua beradik itu mempunyai masalah lambat berjalan ketika masih bayi namun dia tidak menyangka keadaan itu berkait saraf yang menyebabkannya hilang upaya berjalan.

“Sebelum Aizat berhenti, selama lima bulan datuknya (Nik Will Nik Man, 56) mengendong dia ke Sekolah Kebangsaan Seribong kerana kelasnya di tingkat atas dan ketika itu dia ada masalah berjalan.

“Keadaan semakin serius dan dia juga kerap sakit. Jadi pada Julai 2011, Aizat beritahu mahu berhenti sekolah sedangkan dia minat belajar,” katanya ketika ditemui di rumah Nik Will di Kampung Parit, di sini semalam.

Nik Zawatir berkata, anaknya hanya dapat berjalan apabila berusia dua tahun ke atas namun dia tidak mengesyaki apa-apa kerana menganggap perkara biasa.

Namun, pada usia Muhammad Aizat Aiman sembilan tahun, kakinya tiba-tiba lembik dan dia tidak boleh berdiri lama.

“Dua bulan kemudian, keadaan kaki Aizat semakin serius apabila dia tidak lagi mampu berdiri dan berjalan..

“Risau dengan perubahan mengejut itu, saya bawa dia berjumpa pakar saraf di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.

“Selama dua tahun, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya yang turut mencuba rawatan alternatif seperti mengurut.

Kini, kedua-dua kaki Muhammad Aizat Aiman tidak dapat diluruskan dan dia hanya bersila sepanjang masa, manakala tangan langsung tidak dapat digerakkan.

Sebagai ibu, Nik Zawatir berkata, dia sudah melakukan yang terbaik untuk memastikan anak kesayangannya itu dapat berjalan semula, namun akur dengan kekuasaan Allah SWT.

“Ketika ini semua keperluannya saya yang uruskan kerana tidak bekerja dan suami pula bekerja buruh dan pendapatan hanya cukup untuk tampung keperluan kami anak beranak.

“Saya bersyukur Aizat menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan yang digunakan untuk membeli ubat-ubatannya serta keperluan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 8:23 AM