Pelarian Rohingya tiba di Bangladesh dalam pelbagai keadaan, sama ada tua atau muda. - Foto EPA/REUTERS
Reuters

TENTERA datang sambil melepaskan tembakan rambang. Selepas itu datang orang awam diiringi tentera yang merompak dan membakar rumah penduduk etnik Rohingya di Myanmar.

Itu gambaran yang diberi 20 etnik Islam Rohingya dan Hindu yang melarikan diri ke Bangladesh selepas terpaksa meninggalkan perkampungan mereka di Kha Maung Seik, Rakhine, pada 25 Ogos lalu.

“Tentera membawa bersama penduduk Buddha yang tinggal di Rakhine dan membakar kampung.

“Semua penduduk kampung kami beragama Islam, kira-kira 10,000 orang. Ada mati ditembak, selebih lari datang ke sini (Kutapalong dekat kem pelarian Cox’s Bazar). Tiada siapa lagi yang tinggal di kampung itu," kata Kadil Hussein, 55, yang tiba bersama ribuan pelarian di Kutapalong.

Reuters menemuramah penduduk dari Kha Maung Seik dan perkampungan berdekatan yang menceritakan kampung mereka dibakar, penduduk dibunuh dalam operasi ketenteraan Myanmar sebagai membalas serangan pemberontak Rohingya terhadap pos polis dan tentera 25 Ogos lalu.

Penduduk mendengar tembakan pada 2 pagi. Sumber tentera menyatakan pemberontak menyerang pos tentera ketika itu.

Pada 5 pagi, tentera datang ke Kha Maung Seik, melepaskan tembakan rambang dan menurut Abul Hussein, 28, ribuan penduduk berlari masuk ke dalam hutan.

“Saya toleh ke belakang dan nampak ada yang kena tembak. Tentera kemudian menembak mortar dan bom tangan ke dalam hutan.

“Saya nampak satu kumpulan penduduk terkena bedilan mortar, ada yang mati,” katanya.

Menurutnya, mereka nampak tentera bersama orang awam merompak serta membakar rumah.

Penduduk Hindu juga menjadi mangsa dengan sekumpulan pelarian wanita Hindu menyatakan lapan lelaki Hindu ditembak mati kerana enggan menyerang penduduk Islam.

“Mereka suruh suami sertai mereka bunuh Rohingya. Suami enggan, mereka bunuh dia,” kata Anika Bala, 15, yang hamil enam bulan.

Dia melarikan diri ke Bangladesh dengan bantuan penduduk Islam.

Seorang pelarian, Body Alom, 28, berkata dia bersama ribuan lagi bersembunyi dalam hutan ketika tentera sampai ke kampung mereka.

Selepas beberapa jam, dia keluar untuk mencari keluarganya dan nampak mayat bergelimpangan dalam sawah sebelum menemui mayat ibu dan abangnya yang ditembak.

“Mayat juga bergelimpangan di padang. Keadaan amat tidak selamat, saya tiada pilihan, terpaksa meninggalkan mereka. Tiada peluang untuk saya mengkebumikan mereka,” katanya.

Majoriti penduduk di perkampungan Kha Maung Seik ialah Rohingya Islam selain 6,000 penduduk Buddha dan Hindu serta agama lain.

Perkampungan itu terkenal dengan pasar Foira Bazar yang mempunyai kira-kira 1,000 kedai.

Sejak Oktober tahun lalu, ramai tentera dan polis ditempatkan di perkampungan itu yang sering membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah, menahan sesiapa saja yang disyaki ada kaitan dengan pemberontak.

Abu Kalam, 31, menunjukkan parut disebat serta akibat cucuhan rokok di belakang, lengan dan kakinya selepas ditahan tentera Myanmar bulan lalu, kerana berkebun menggunakan pisau.

“Sejak Oktober lalu, tentera tidak membenarkan kami memiliki pisau. Bila mereka nampak saya ada pisau, saya ditahan,” katanya.

Abu yang ditahan enam hari di berek tentera dengan setiap hari dipukul dan diseksa ketika ditanya ‘Kamu ada kaitan dengan dengan al-Yaqin?' - rujukan untuk pemberontak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 6:12 PM