SHUKRI Yahya. FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Pelakon kacak Shukri Yahya dilihat antara selebriti yang bijak menangani kontroversi.

Tidak mudah melatah, pelakon yang popular menerusi drama 7 Hari Mencintaiku itu sentiasa tenang tatkala berdepan ujian.

Kata Shukri, apabila terpalit cerita kurang enak dia lebih selesa berdiam diri kerana tidak mahu memanjangkan isu itu.

“Saya tidak suka memanjangkan perkara yang tak betul. Saya sangat suka berlakon dan ia adalah dunia dan jiwa saya.

“Kalau saya melayan cerita negatif, bimbang ia akan diperkatakan orang sehingga menenggelamkan bakat dan lakonan saya.

“Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu popular kerana cerita buruk. Ia bukan publisiti yang baik untuk artis,” katanya.

Beralih kerjaya lakonan yang semakin berkembang, bapa kepada Aaira Ameena ini berkata, meskipun sudah menjayakan pelbagai drama bersiri, hatinya belum terbuka untuk menjayakan drama lebih 100 episod.

Ini kerana dia mahu tampil dengan pelbagai produk dalam setahun, bukan fokus hanya pada satu drama semata-mata.

“Baru-baru ini saya ditawarkan membintangi drama bersiri 60 episod untuk slot Samarinda di TV3. Drama ini adalah naskhah panjang pertama lakonan saya.

“Sebelum ini, saya pernah ditawarkan untuk drama ratusan episod tetapi menolaknya kerana tidak mahu hanya terikat dengan drama itu saja.

“Untuk memastikan nama kekal relevan dan diingati saya perlu menerima beberapa tawaran drama. Lagipun, saya tidak tahu bilakah drama yang dijayakan akan disiarkan,” katanya.

Hampir lima tahun mencanai bakat sebagai pelakon, Shukri menimba ilmu daripada pengarah Shiela Rusly, Along Kamaluddin dan Datuk A Aida malah dia turut memberikan kredit kepada sutradara lain yang banyak mengasah bakat lakonannya sehingga dilihat semakin baik.

“Alhamdulillah, saya beruntung dan berterima kasih kepada mereka kerana sudi menurunkan ilmu dan membantu menjadi pelakon yang lebih baik.

“Namun begitu, masih banyak kekurangan yang peru diperbaiki bagi memastikan penonton nampak bakat diri ini.

“Bidang lakonan ini bukan pentas mainan, saya memberikan sepenuh komitmen. Fokus saya untuk memberikan yang terbaik dan apa yang diperlukan pengarah,” katanya yang turut menyimpan impian bergelar pengarah satu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 4:23 AM