Mazizul Dani dan Nabihah Kamal
am@hmetro.com.my


SEBAK sehingga air mata tumpah. Itu yang dirasai wartawan Harian Metro, Mazizul Dani dan Nabihah Kamal sepanjang membuat liputan tragedi pilu kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat yang mengorbankan 21 anak tahfiz dan dua warden, hari ini.

Sepanjang menjadi wartawan, tragedi itu disifatkan mereka paling menyayat hati. Ikuti coretan pengalaman mereka.

"Waris terbaring di atas jalan, menangis meratapi pemergian anak tersayang. Suasana pilu itu ‘menyambut’ kehadiran kami.

Apabila tiba di dalam kawasan pusat tahfiz, suasananya semakin meruntun jiwa. Tangisan bersilih ganti, duka dan cemas di wajah ibu bapa, kakak, abang dan ibu saudara pelajar tahfiz membuatkan kami sebak.

Ada waris yang meraung sehingga pengsan sebelum diusung oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan.

Semua waris menunggu sehingga selesai Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa.

Waris ditenangkan oleh wakil Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di satu sudut di dalam masjid bersebelahan pusat tahfiz.

Ada juga kedengaran waris yang dalam nada pilu mahu menjadi pengganti mangsa, biarlah mereka yang ‘pergi’ dan ada yang membaca surah Yasin.

Kami mendekati seorang wanita berusia 40-an yang kelihatan tenang.

Norhayati Khalid,42, memaklumkan dia masih menunggu maklumat sama ada anak bongsunya Mohd Amiel Asyraf Abdul Rashid,11 selamat atau tidak.

Acap kali dia menjengah tetapi tiada kelibat anak bongsunya disifatkannya periang.

Norhayati menceritakan mengenai intipati surat yang ditulis Mohd Amiel yang memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan dan mahu membantu ibu bapanya masuk syurga.

Teresak-esak Norhayati menceritakan kenangan manis yang baru dicoretkan semalam ketika menyuap anak bongsunya makan petang.

Norhayati berkata, sebelum pulang, anak tahfiz yang sudah menghafal surah Al-Baqarah itu meminta untuk ibunya menziarahinya lagi pada Jumaat ini.

Bergenang air mata ibu kepada empat anak itu apabila mengenangkan detik terakhir bersama anaknya.

Tambah memilukan apabila tatkala dia diberitahu anaknya itu seorang daripada yang terkorban dalam kejadian itu. Dia menangis dan air mata kami tumpah.

Kami mendapatkan pula jiran berhampiran pusat tahfiz itu

Pekerja kontrak, Shahriman Shahril, berkongsi cerita yang dia dikejutkan dengan suara jeritan kanak-kanak.

Lelaki berusia 39 itu lantas bangun sebelum melihat api marak dari asrama pusat tahfiz itu.

Katanya, di melihat tangan anak kecil menggapai meminta tolong.

'Abang! Abang! Tolong kami....Abang, panas!'

Itu antara rayuan yang didengari menyebabkan dia cuba untuk memanjat ke tingkat tiga bangunan berkenaan namun api terlampau marak.

Dia cuba meminta kanak-kanak itu lompat dan ketika itu hanya lima orang yang berjaya menyelamatkan diri.

Asap yang tebal menyebabkan jiran lain turut membantu mengeluarkan anak tahfiz itu.

Shahriman dalam nada sebak bercerita kepada kami anak-anak tahfiz itu sering berlari di hadapan rumah untuk ke masjid selepas azan.

Lain pula dengan hari ini, apabila melihat anak kecil itu berlari akibat kepanasan kerana kebakaran.

Pada jam 11 pagi, penyelia tahfiz, Mohd Affandi Hamzah mengumumkan bahawa 21 pelajar tahfiz disahkan meninggal manakala 2 tenaga pengajar maut dalam tragedi itu.

Semua menangis sebelum beredar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pengecaman.

Allahuakbar... sepanjang berdepan pelbagai tugasan sebagai wartawan, tragedi hari ini paling memilukan dan meruntun jiwa,”

Berita berkaitan

Suami seminggu nikah juga terkorban

Kedah ucap takziah

Henti sebar foto jenazah

Doakan anak saya

Gerak hati bapa

'Tiada kompromi soal nyawa'

Pantau elak tragedi berulang

MAIWP bantu urus jenazah

PM zahir rasa sedih

Litar pintas dipercayai punca kebakaran [METROTV]

'Tujuh sahaja sempat turun'

'Mahu tolong ibu ayah ke syurga Firdaus' [METROTV]

Nekad turun dengan tujuh rakan

'Tolong bang...tolong bang' [METROTV]

Ya Allah, 24 semuanya terkorban

Api menjulang ketika azan subuh

20 maut, 3 kritikal, 2 separa kritikal

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 6:15 PM