ASHRAF (kanan) meraikan kemenangannya ketika acara akhir 1500m kategori T46. -Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Haika Khazi dan Ferzalfie Fauzi
sukan@hmetro.com.my


MALAM tadi, Ashraf Haisham tidak mampu memejamkan mata kerana terlalu asyik memikirkan teknik lariannya hari ini demi memastikan dia tidak terlepas pingat emas.

Sebentar tadi, Ashraf membuktikan dia bukan saja layak bergelar juara acara 1,500 meter lelaki T46, Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017), malah membaharui rekod temasya dengan catatan masa 4:24.73s.

Pingat perak dimenangi pelari Vietnam, Tran Van Duc dengan masa 4:25.25s dan gangsa dimenangi oleh atlet Indonesia, Erens Sabandar (4:33.76s).

Sebelum ini, rekod acara itu menjadi milik atlet Filipina, Isidro Bildosola yang dilakukan di Sukan Para ASEAN Manila 2005.

Dalam aksi pagi tadi, prestasi cemerlang yang dipamerkan Ashraf berjaya mengekalkan rentak kemenangan ketika merangkul pingat emas acara 800m semalam.

Esok, Ashraf sekali lagi menjadi tumpuan emas apabila turun beraksi dalam acara 400m lelaki T46.

“Alhamdulillah, biarpun tidak tidur malam tadi tapi saya dapat menang pingat emas dan memecahkan rekod.

“Saya tidak dapat tidur malam tadi kerana apabila pejamkan mata, saya asyik terbayang pingat emas dimenangi semalam dan macam mana teknik larian yang akan digunakan hari ini.

“Alhamdulillah, saya dapat fokus dan menang emas serta mencatat rekod baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 1:29 PM