“KAMI sekeluarga naik bot bomba selepas rumah dinaiki air paras pinggang. Bersyukur tiada kejadian tidak diingini berlaku," kata Siti Munirah Mansor, 32.
Siti Munirah berkata demikian menceritakan detik cemas rumahnya di Lorong Pam Air Kampung Alor Senjaya, Alor Setar, dilanda banjir, malam tadi.
Siti Munirah berkata, hujan lebat bermula sejak tiga hari lalu namun air hanya mula memasuki rumah, pada kira-kira 7 malam.
“Mujur rumah saya dua tingkat. Jadi, barang sempat diselamatkan dan disimpan di tingkat atas.
"Namun atas faktor keselamatan dan nasihat anggota bomba kami pidah juga,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, Alor Setar, hari ini.
Dia bersama suami, Zairul Anuar Zabidi, 44, dan tiga anak enam hingga 12 tahun berpindah di PPS itu menganggap banjir kali ini adalah terburuk.
Penduduk Kampung Alor Perang, Ariffin Puteh, 67, berkata, kampungnya sudah lama tidak banjir teruk.

"Seingat saya kampung kami sudah tujuh tahun tidak dilanda banjir seteruk ini sehingga memaksa kami berpindah.
"Rumah saya mula dimasuki air kira-kira 8 malam. Bimbang kejadian lebih teruk saya terpaksa berpindah pada 10.30 malam," katanya.