POLIS sudah menghantar kertas siasatan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah kepada Peguam Negara untuk penelitian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, kes disiasat pihaknya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan 435 kanun yang sama.

Menurutnya, penelitian lanjut akan dilakukan pihak Peguam Negara mengenai seksyen yang akan digunakan nanti.

"Sebarang pekembangan lanjut akan dimaklumkan dan pihaknya sudah melakukan siasatan terperinci membabitkan kejadian berkenaan.

"Kita berharap semua pihak bersabar dan tidak membuat kenyataan hingga menggangu siasatan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian itu, 21 pelajar tahfiz dan dua warden maut selepas pusat tahfiz berkenaan dibakar sekumpulan remaja.


WAN Ahmad (kanan) bersama Timbalannya, Datuk Huzir Mohamed (kiri) ketika sidang media. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Dalam perkembangan lain, polis Terengganu akan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyelesaikan tiga kes pembunuhan di negeri ini.

"Dua kes di Kuala Terengganu membabitkan kes bunuh bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Alor Limbat Alias Abdullah dan sepupunya, Mat Jusoh Ali di Padang Midin serta kes pembunuhan peniaga ikan di Besut.

"Kita juga akan meneruskan siasatan hingga dalang yang melakukan perbuatan berkenaan tertangkap dan pasukan khas ditubuhkan itu akan melakukan siasatan terperinci membabitkan ketiga-tiga kes berkenaan," katanya.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 3:56 PM
PUSAT Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung terbakar dan mengorbankan 23 nyawa pelajar dan guru. FOTO Yazit Razali