PASUKAN penyelam mencari bahan bukti di dalam Tasik Datuk Keramat berhubung kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. FOTO Rosdan Wahid
Norizuan Shamsuddin


ANGGOTA unit penyelam Polis Diraja Malaysia hari ini membuat pemantauan di tasik bersebelahan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifiqiyah, Kuala Lumpur yang dibakar.

Pasukan terbabit didapati turut membuat penyelaman di Tasik Datuk Keramat, 10.30 pagi tadi, dipercayai bagi mencari bukti untuk mengukuhkan kertas siasatan.

Sumber polis berkata, unit penyelam terbabit dikerahkan bagi mencari peralatan yang dicampakkan suspek ke dalam tasik berkenaan ketika kejadian.

"Difahamkan antara peralatan dipercayai dicampakkan suspek ke dalam tasik terbabit adalah alat pemutar skru dan beberapa lagi peralatan lain boleh dijadikan bukti berhubung siasatan kes kebakaran pusat tahfiz ini," katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam kejadian 5.15 pagi, 14 September lalu, 21 pelajar dan dua guru maut dalam kebakaran di tingkat tiga bangunan sementara pusat tahfiz terbabit.

Susulan itu, polis menahan tujuh lelaki berusia 11 hingga 18 tahun disyaki membakar pusat tahfiz itu.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 12:37 PM