BERSAMA Bakri yang turut menjadi rakan kolaborasinya. FOTO Zunnur Al Shafiq
Georgie Joseph


Elemen artistik yang disuntik pada setiap karyanya membezakan Monoloque daripada pemuzik tempatan lain.

Kesungguhan pemuzik itu menghasilkan estetika irama dalam lagunya membuktikan muziknya berada pada kelas tersendiri.

Tampil dengan album baru berjudul Jangan Puja Sampai Kecewa selepas bertahun lamanya, Monoloque mengangkat nilai karya mereka ke tahap lebih tinggi.

Penyanyinya, Loque berkata, album berkenaan memiliki pemberatnya tersendiri apabila melodi Nusantara masih menjadi taruhan.

“Setiap kali berkarya, saya membayangkan lagu dihasilkan perlu meninggalkan impak kepada masyarakat kita sampai bila-bila pun.

“Untuk album Jangan Puja Sampai Kecewa, saya berusaha menyuntik elemen semangat jati diri rakyat kita dalam setiap lagu. Saya mahu setiap perincian lagu itu menyemarakkan rasa kesetiaan terhadap budaya mahupun negara,” katanya pada majlis pelancaran album itu, baru-baru ini.

Disebabkan itu juga Monoloque mengambil masa lama untuk menyiapkan album berkenaan. Kali terakhir hadir dengan album berjudul Inderaloka pada 2013, kesempurnaan setiap lagu menjadi fokus kali ini.

Bahkan, menurut Loque sepanjang tempoh itu mereka berjaya mencipta bunyi baru yang sangat memuaskan dalam beberapa lagu.

“Sebenarnya sebab utama album itu mengambil masa empat tahun untuk disiapkan adalah kerana kami mencari kesempurnaan. Bukan mudah untuk menyiapkan sebuah lagu dan setiap lagu mengambil masa yang lama.

“Bahkan, ada yang berbelas kali digubah kerana kami tidak mendapat bunyi paling sempurna buatnya. Kami benar-benar mahu memastikan lagu itu mampu menjadi karya yang diingati meskipun berganti generasi.

“Tidak ketinggalan, kami turut mencari bunyi baru daripada hasil gabungan instrumen digunakan. Syukur, ia melangkaui imaginasi kami dan berjaya menemui bunyi yang lebih segar dan sempurna,” katanya.

Loque turut berkongsi keseronokannya dapat bekerja dengan beberapa individu penting dalam memastikan kualiti setiap lagu berada di tahap terbaik.

Apalagi, pemain dram Loco sebelum ini mengambil keputusan tidak meneruskan bersama Monoloque.

“Ramai orang keliru sebenarnya siapa Monoloque kerana mereka ingatkan itu nama saya. Monoloque secara dasarnya saya sifatkan adalah satu pergerakan yang saya bekerja dengan mana-mana rakan pemuzik tapi tidak tetap.

“Dalam album ini juga, ada beberapa rakan turut menyumbang tenaga dan tempat Loco pula digantikan Bakri.

“Untuk setiap persembahan, pemuzik yang akan bersama saya berganti-ganti. Disebabkan itu saya tidak gemar panggil Monoloque sebuah kumpulan,” katanya.

Sempena pelancaran album baru itu, Monoloque turut menghadiahkan sebuah persembahan istimewa yang bertempat di Atas by Bijan X, Kelana Jaya, Selangor pada sebelah malam.

Mempersembahkan 20 lagu, Loque bersama pemuziknya memukau lebih 300 penonton hadir dengan keindahan setiap lagunya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 3:31 AM