Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“PIHAK kami (bomba) dimaklumkan individu pertama menyedari kebakaran adalah pelajar dan remaja ini memberitahu dia menyangkakan kejadian adalah mimpi menyebabkannya tidur semula,” kata Pengarah bomba Negeri Sembilan, Norazam Khamis.

Norazam berkata, pada kejadian 1.50 pagi itu, Nur Athirah Izzati Shamsul Murfiz, 15, terjaga daripada tidur sebaik sedar terdapat percikan api di siling asrama Sekolah Tinggi Islam As Sofa, Kampung Nesarau, Kota, Rembau.

Katanya, remaja itu yang separuh sedar tidur semula dan tidak lama kemudian terasa bahangnya.

"Pada masa itu barulah Nur Athirah menyedari kebakaran benar-benar berlaku dan mengejutkan rakannya. Mereka menyelamatkan diri menggunakan pintu hadapan sebelum melarikan diri ke surau dan dewan di belakang asrama," katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan premis.

Menurut Norazam, siasatan awal pihaknya mempercayai kebakaran disebabkan oleh litar pintas.

"Kebakaran bermula di bahagian siling sebelum merebak ke tingkap dan hadapan premis. Seramai lapan anggota dikerahkan ke lokasi namun premis itu musnah 80 peratus," katanya.

Beliau berkata, asrama itu menempatkan 37 pelajar perempuan yang semuanya terselamat manakala tiga lagi sesak nafas.

"Ketiga-tiga mereka ini dibawa ke Hospital Tampin dan sudah dibenarkan keluar. Buat masa ini siasatan menyeluruh sedang dijalankan," katanya.

Pengetua sekolah itu, Nor Badrul Zaman Nordin, 36 berkata, asrama itu memiliki dua warden, dua pengawal keselamatan dan dua kakitangan.

Katanya, premis yang beroperasi sejak 2014 memiliki tiga pintu kecemasan dan tiga alat pemadam api.

"Pada kejadian ini pihak pengurusan membantu memadam kebakaran sebelum diambil alih pihak bomba. Kami bersyukur semua pelajar selamat," katanya.


NORAZAM (kanan) bersama pegawai forensik kebakaran melihat kawasan asrama yang terbakar. FOTO HAzreen Mohamad

Sementara itu, Faizah Kassim, 73, yang tinggal berhadapan asrama perempuan berkata, dia baru memasuki bilik tidur sebelum terdengar riuh rendah dari asrama berkenaan.

“Uwan baru nak lolapkan (pejam) mata, tiba-tiba uwan dengar budak-budak bising.

"Sebaik menjengah melalui tingkap, uwan nampak asap di sekolah disusuli api.

"Sebaik mengetahui kejadian, uwan hubungi bomba bagi meminta bantuan," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurut Faizah, sebaik membuat panggilan dia bergegas ke asrama itu dan dimaklumkan oleh pengawal pelajar sudah menyelamatkan diri.

"Pada masa itu uwan panik melihat api merebak. Ini adalah kejadian pertama kali sejak 2014," katanya.

Faizah berkata, dia bersyukur kerana semua 37 pelajar perempuan berkenaan terselamat.

Berita berkaitan:

Tahfiz di Rembau terbakar

Jeritan rakan jadi penyelamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 3:46 PM
KEADAAN asrama perempuan yang terbakar hampir 80 peratus. FOTO Hazreen Mohamad