Peguam yang mewakili tiga suspek yang dakwa dengan kesalahan mengambil dadah, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin ditemuramah wartawan ketika keluar dari Mahkamah Majistret Kanak-Kanak Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
Sarah Zulkifli


LIMA remaja bawah umur termasuk dua yang didakwa membunuh dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kanak-Kanak Kuala Lumpur, hari ini, atas tuduhan memasukkan dadah dalam badan.

Dua tertuduh berusia 16 tahun mengaku bersalah manakala tiga yang berusia 12, 16 dan 17 tahun mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu selepas pertuduhan dibacakan Majistret Zilfinaz Abbas.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memasukkan dua jenis dadah iaitu ganja dan syabu ke dalam badan di tandas Pejabat D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada 11.35 pagi, 16 September lalu.

Peguam bela, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin ketika ditemui selepas tamat prosiding berkata, tertuduh yang berusia 16 dan 17 tahun adalah adik-beradik.

"Majistret tidak membenarkan kedua beradik itu diikat jamin atas faktor keselamatan, namun seorang lagi anak guam yang berusia 12 tahun dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 dan diikat jamin oleh ibu saudaranya.

"Anak guam saya mengaku tidak bersalah kerana laporan patologi belum dikeluarkan dan memohon mereka dijamin mengikut Seksyen 387 Kanun Acara Jenayah kerana ia adalah kesalahan yang boleh dijamin," katanya.

Mahkamah menetapkan pada 28 November ini untuk sebutan semula kes bagi laporan ujian air kencing.

Bagi tertuduh yang mengaku salah, mahkamah menetapkan tarikh sama bagi mendapatkan laporan akhlak.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Mohamad Shahrulnizam Ikmal Shafi-in, 18, mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis syabu dan ganja dalam badan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memasukkan dua jenis dadah iaitu ganja dan syabu ke dalam badan di tandas Pejabat D7 Jabatan Siasatan Jenayah IPK, pada 11.35 pagi, 16 September lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta perintah pengawasan polis selama dua tahun.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 4:10 PM