KENYATAAN TLDM yang di laman Twitter iaitu Royal Malaysian Navy‏ @tldm_rasmi
Kalidevi Mogan Kumarappa
Kalidevi@hmetro.com.my


DUA anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan pada jam 3. 15 petang, semalam.

Dalam kenyataan media TLDM, hari ini, dua anggota terbabit adalah Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26.

Berdasarkan kenyataan itu, kedua-dua mereka menjalani latihan fizikal mengikut prosedur.

Jurucakapnya berkata, ketika latihan, mereka mengadu kepenatan sebelum direhatkan dan seterusnya dimasukkan semula ke dalam bilik tahanan.

"Kedua-dua anggota itu kemudiannya muntah dan sesak nafas. Mereka kemudian diberikan rawatan awal oleh petugas pusat tahanan.

“Bagaimanapun, disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik pada 3. 15 petang, " kata kenyataan itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal doktor ke atas kedua-dua anggota itu tidak menemui sebarang kesan penderaan fizikal.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh menolak sebarang kemungkinan sebab sebenar kematian itu.

"Punca sebenar kematian masih dalam siasatan polis. TLDM akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan.

“Selain itu, TLDM juga menubuhkan Lembaga Siasatan untuk meneliti prosedur kerja yang sedia ada, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 11:18 AM