Perhentian bas tempat Mohamad Putera ditinggalkan dulu dan keratan akhbar memaparkan gambar Norma mendukung Mohamad Putera yang ditinggalkan ketika 10 hari.
Nabihah Kamal


"ALHAMDULILLAH bayi itu selamat dan kini jadi pemuda berguna. Paling mengejutkan saya apabila namanya Putera.

"Ketika saya dan kakitangan klinik lain menerima bayi itu, kami saja letakkan nama Putera. Tak sangka nama itu digunakan sebagai namanya,”€ kata jururawat, Norma Mat Riffin,45, individu terawal mendukung bayi berusia 10 hari yang ditinggalkan di perhentian bas di Kampung Megat, Jalan Maran, dekat Tasik Paya Bungor, Kuantan, pada 23 September 1996.

Bayi itu, Mohamad Putera Zainuddin kini berusia 21 tahun danmenyatakan hasrat bertemu ibu bapa kandung dan Norma yang gambarnya tertera dalam keratan akhbar mengenai berita penemuan bayi terbabit.

Selepas kisah Mohamad Putera disiarkan Harian Metro semalam, hasrat pemuda itu tercapai apabila Norma menghubunginya.

Norma melihat berita mengenai Mohamad Putera di portal berita Harian Metro sebelum menghubungi pemuda itu menerusi nombor telefon yang tertera.

Menurut Norma yang kini bertugas di Klinik Kesihatan Balai Bachok, Kelantan, dia bukan orang pertama menjumpai bayi itu sebaliknya penduduk kampung yang membawa bayi terbabit kepadanya ketika bertugas di Klinik Kesihatan Gambang.

Katanya, dia terharu kerana bayi yang dulu pernah didukung itu mahu bertemunya.

"Ketika bayi itu dibawa kepada saya oleh penduduk kampung, saya terkejut. Comel sangat dan tiada cacat cela.

"Tambahan pula, bayi itu lengkap berpakaian dan tiada sebarang kecederaan,”katanya.

Sementara itu, Mohamad Putera berkata, dia bertambah bersemangat untuk mencari ibu bapa kandungnya selepas Norma menghubunginya.

"Ketika cuti semester nanti, saya merancang untuk ke Kelantan berjumpa dengan jururawat itu.

"Sekurang-kurangnya saya dah jumpa satu petunjukdan fokus saya kini mahu berjumpa dengan ibu bapa kandung," katanya.

Menurut Mohamad Putera, dia amatmenghargai keprihatinan orang ramai yang tidak putus beri sokongan dan doa.

"Terima kasih kepada Harian Metro kerana menyiarkan kisah saya serta rakyat Malaysia yang amat prihatin dan tidak putus memberi sokongan, nasihat dan doa.

“€œSaya berasa lebih semangat untuk mencari ibu bapa kandung," katanya yang turut memaklumkan, Norma membenarkannya memanggil wanita itu dengan panggilan mama.

Mohamad Putera kini menyambung pengajian dalam jurusan Diploma Pembantu Perubatan di kolej di Seremban, Negeri Sembilan.

Dia dijaga Saodah Mahmood, 59 dan Zainuddin Ahmad, 56, yang mengambilnya sebagai anak angkat sejak usianya sembilan bulan.

Dalam pada itu, Mohamad Putera turut menghantar gambar terkini perhentian bas tempat dia ditinggalkan ketika usianya 10 hari kepada wartawan hari ini.

Berita berkaitan:

Dia tak akan tinggalkan kami

‘Ayah, ibu saya nak jumpa...’

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 11:05 PM