FARAH Nabilah. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin

Meskipun memiliki ijazah Sarjana Muda Psikologi, bintang baru, Farah Nabilah, 25, akhirnya memilih lakonan sebagai karier dengan memulakan langkah menerusi drama Inikah Cinta pada 2015.

Dapat peluang lagi menggalas watak utama, impak populariti dikecapi Farah kini lebih menyerlah apabila menjayakan drama Titian Cinta yang disiarkan TV3 dalam slot Akasia.

Melakonkan watak Rahadatul Aisy, Farah digandingkan dengan Zul Ariffin sebagai Umayr Harris dan gandingan mereka kini menjadi sebutan.

Farah akui gementar berlakon di sisi Zul kerana itu kali pertama mereka bekerjasama. Sebagai pelakon baru yang masih hijau pengalaman, Farah bimbang lakonannya tidak menyerlah.

Katanya, Zul pelakon berbakat besar dan dilihat mudah menjiwai setiap watak dilakonkan, jauh berbeza dengan dirinya.

“Terus terang, watak Rahadatul Aisy sangat mencabar kerana perlu bermain banyak emosi. Apatah lagi dalam tempoh hampir dua tahun aktif berlakon, kebanyakan yang saya lakonkan watak ringan.

“Ia tidak memerlukan permainan karakter dan emosi yang berat hingga membawa saya terperap ke zon selesa. Apabila ditawarkan berlakon Titian Cinta, saya teragak-agak juga untuk menerima atau tidak.

“Namun apabila mendapati akan bekerja dengan pengarah berkaliber Heykal Hanifah, sukar buat saya menolak peluang,” katanya.

Bekas penuntut Universiti Segi ini melihat bekerja dengan Heykal peluang terbaik untuknya menimba pengalaman kerana melihatnya sebagai pengarah yang sangat menitikberatkan mutu lakonan.

“Saya lihat ia juga mungkin dapat membantu saya keluar dari zon selesa. Sampai bila saya harus berasa puas dan seronok melakonkan watak ringan saja?.. tidak berani memberi peluang kepada diri sendiri untuk mencuba karakter berat?

“Sekarang masa yang sesuai buat saya berani mengambil peluang untuk menyerlahkan bakat lakonan sebenar supaya boleh dinilai penonton,” katanya.

Menjayakan babak romantis dengan Zul, Farah anggap ia cuma komitmen kerja dan yakin dirinya sudah cukup matang untuk membezakan antara tanggungjawab kerja dan peribadi.

“Saya yakin pada diri sendiri dan niat hati yang mana aksi mesra dilakonkan hanya semata-mata memenuhi tuntutan watak Rahadatul Aisy.

“Ia tidak lebih daripada itu sehingga saya perlu terjebak dengan cinta lokasi. Lagipun, saya sangat menghormati Zul dan kagum dengan bakatnya.

“Apapun, jauh di sudut hati, saya berbanyak-banyak terima kasih kepada penonton drama Titian Cinta yang menerima baik lakonan saya,” katanya.

Juga aktif sebagai model video muzik penyanyi terkenal tanah air, Farah belum terfikir soal bercinta. Buat masa sekarang, fokusnya hanya memantapkan nama dan karier.

“Tambah pula saya sedar saingan sesama pelakon kini sengit. Meskipun setiap orang itu sudah ditetapkan rezeki masing-masing, perlu giat berusaha dan tidak boleh cepat berasa selesa,” katanya.

Apapun, Farah akui, tidak boleh menerima beberapa tawaran berlakon dalam satu masa kerana amat mengutamakan kualiti hasil kerjanya. Dia tidak kesah perlu memberikan tumpuan kepada satu-satu drama dilakonkan saja.

Ingin kendali program masakan

Pada zaman serba moden ini, kebanyakan gadis yang memiliki penampilan menarik ‘liat’ menjejakkan kaki di dapur.

Malah ada segelintir mereka digambarkan berat tangan untuk membasuh pinggan mangkuk serta dilabel kekok membuat kerja dapur.

Pun begitu, sikap tidak suka memasak dan masuk ke dapur ini sama sekali tiada di dalam kamus hidup Farah.

Katanya, sejak kecil dia memang suka memasak dan pernah menyimpan impian bergelar cef apabila dewasa.

“Saya pernah terfikir jika tidak dapat membina karier sebagai cef, cukuplah sekiranya diberi peluang mengacarakan program masakan sendiri.

“Ini kerana saya sangat suka memasak. Bagi saya, memasak adalah aktiviti yang menjadi terapi hilangkan tekanan.

“Namun, inilah namanya impian. Lain yang diinginkan akhirnya lain pula bidang karier yang saya ceburi,” katanya.

Selain filem dan drama TV, program masakan juga suka ditontonnya. Bagi Farah, memasak tidak hanya boleh membuatkan dirinya tenang dan menghilangkan tekanan, juga jadi kepuasan andai dapat mencuba resipi masakan baru.

“Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu kini, saya rasa memasak sendiri lebih menjimatkan. Saya juga berharap satu hari nanti dapat peluang terbabit dalam program masakan TV,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 2:04 AM