HANNA amat berharap filem Dubai My Love jadi platform tempa nama di layar perak.
Ramlah Zainal


Bermula sebagai model iklan, pendatang baru Hanna Aqeela nekad mencuba nasib sebagai pelakon.

Bermula dengan drama Bila Hati Berbicara, Dawai Asmara dan Love You Mr Arang, kehadiran Hanna turut membuka mata ramai penerbit serta pengarah untuk menawarkannya berlakon.

Namun, pemilik nama sebenar Hanna Aqeela Mohd Rosni, 27, ini menyedari namanya kurang menyerlah berbanding rakan seperjuangan lain.

“Saya akui nama lambat naik walaupun hampir tiga tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.

“Mungkin kerana saya bermula sebagai model iklan dan hanya selepas setahun baru fokus pada bidang lakonan,” katanya.

Walaupun kurang popular, Hanna tetap bersyukur kerana undangan berlakon tidak pernah putus diterima hingga sekarang.

“Saya menganggap inilah masanya menggilap bakat dalam lakonan. Saya mahu peminat mengenali diri ini kerana prestasi lakonan dan bukan sekadar populariti semata-mata. Saya tidak mahu nama cepat naik tapi cepat pula jatuh nanti.

“Apa yang penting, setiap watak dilakonkan beri kesan mendalam kepada penonton,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pemakanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini juga merancang mengikuti kelas lakonan bagi memantapkan prestasi lakonannya.

“Saya graduan jurusan Sains Pemakanan dan tiada asas dalam bidang lakonan. Soal perancangan pula, saya ingin mengembangkan bakat sebagai pelakon filem selepas ini.

“Oleh itu, saya sangat berharap filem pertama iaitu Dubai My Love akan menjadi platform terbaik untuk menempa nama di layar perak,” katanya.

Bercerita perkembangan terbaru, Hanna baru selesai penggambaran drama bersiri Kelip-Kelip Kota London terbitan Zeel Production untuk stesen TV3.

“Kini, saya menyiapkan baki penggambaran drama Sesegar Nailofa bergandingan dengan Erwin Dawson untuk saluran RTM.

“Drama lain yang menanti tarikh tayangan ialah Dendam Yang Tertangguh untuk stesen TV9 dan Bilo Nogori Jupo Kelate untuk TV3,” katanya.

Pertaruh filem sulung

Watak Fazlina dalam filem genre romantik Dubai My Love terbitan Tsar Asia Sdn Bhd turut mencabar lakonan Hanna di layar perak.

Dalam filem arahan Aidilfitri Mohd Yunus itu, Hanna berganding dengan Putri Najuwa dan Erwin Dawson selaku teraju utama.

Menurut Hanna, dia perlu melakonkan dua watak berbeza dalam filem itu.

“Fazlina wanita yang tegas dan teguh pendiriannya. Apa yang menarik, saya juga melakonkan watak orang lain iaitu sepupu kepada Balqis dalam cerita ini.

“Saya perlu pastikan penonton merasai perbezaan dua watak itu,” katanya.

Kata Hanna, dia berdepan cabaran ketika menjalani penggambaran di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), tahun lalu.

“Paling sukar ialah penggambaran di padang pasir. Selain cuaca sejuk dan berangin, pasir kerap masuk ke dalam mata, baju dan kasut.

“Bukan mudah menjayakan penggambaran di luar negara dengan keadaan ramai orang berkerumun di lokasi dan perlu mengejar masa,” katanya.

Ditanya mengenai gandingannya dalam filem itu, Hanna berkata, dia tidak sukar mendapatkan keserasian dengan Putri Najuwa dan Erwin dalam filem yang bakal ditayangkan mulai 26 Oktober ini.

“Saya pernah berlakon dengan Putri Najuwa dalam drama Dawai Asmara dan kami memang berkawan baik. Saya juga sudah tahu cara bekerja Abang Aidilfitri kerana dia juga pengarah drama Dawai Asmara.

“Ia kali pertama saya bekerja dengan Erwin tetapi dia juga mudah didekati, peramah dan suka buat lawak,” katanya.

Beralih sisi peribadinya pula, Hanna mengakui dia belum ada perancangan berumah tangga dengan kekasihnya Farid dalam tempoh terdekat ini.

“Hubungan saya dan Farid berjalan lancar sejak tiga tahun lalu. Buat masa ini, kami ingin mengukuhkan kerjaya masing-masing dan kewangan dulu.

“Soal perkahwinan adalah perkara serius. Insya-Allah, kami juga percaya perkara yang baik seperti untuk mendirikan masjid perlu dipercepatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 6:47 AM