IHSAN China Press


LELAKI maut ditikam isterinya dalam satu pertengkaran di rumah teres yang dijadikan stor di Jalan Indah 6, Taman Pertama Indah, Sungai Abong, Muar, kira-kira 2 petang, Sabtu.

Isteri mangsa dikatakan terlalu marah kerana suaminya tidak pulang ke rumah di Parit Bunga, Tangkak, sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, pertengkaran mereka yang boleh kedengaran oleh penduduk tiba-tiba senyap.

Keadaan itu menyebabkan penduduk datang ke rumah dan melihat mangsa terbaring di ruang tamu dengan suspek terduduk di kawasan berhampiran.

Difahamkan, Mohd Firdaus Md Salehuddin, 28, ditemui terbaring di ruang tamu premis majikannya itu dengan kesan tikaman di dada manakala isterinya berada di kawasan berhampiran.

Pasangan itu dikatakan baru mendirikan rumahtangga, kira-kira lima bulan lalu, dan mereka mendiami rumah keluarga isteri di Parit Bunga, Tangkak.

Arwah Mohd Firdaus pula bekerja sebagai pemotong ayam di Pasar Besar Muar.

Sementara itu, ibu mangsa, Rohani Sharif, 57, berkata dia diberitahu oleh besannya mengenai kejadian itu pada 2.30 petang.

Katanya, dia kemudian ke tempat kejadian dan mendapati polis sudah berada di lokasi berkenaan.

Menurutnya, dia kemudian dimaklumkan bahawa anak sulung daripada tiga beradik itu sudah meninggal dunia.

“Kali terakhir saya bertemu arwah Mohd Firdaus, pada Jumaat minggu lalu. Biasanya, saya dan suami akan ke pasar dan akan berjumpanya.

“Dalam pertemuan terakhir kami, saya menemaninya makan dan menasihati dia supaya bersabar kerana bernikah dengan perempuan 17 tahun.

“Saya katakan padanya supaya pandai jaga isteri yang masih muda. Kalau ada apa-apa, dia selaku penjaga yang bertanggungjawab.

“Tapi, Jumaat lalu (semalam) apabila ke pasar, saya dan suami mendapati dia tiada di tempat kerja. Malah, sukar menghubungi telefon bimbitnya,” katanya.

Menurutnya, menantu ada menghubunginya dan bertanya sama ada suaminya balik ke rumahnya kerana sudah dua hari tidak pulang ke Tangkak.

“Saya beritahu menantu bahawa arwah tidak balik. Kami reda dengan apa yang berlaku dan tidak mahu menghukum sesiapa pun.

"Kalau betul dia (menantu) yang buat, itu antara dia dengan Allah SWT. Biarlah Allah SWT yang tentukan, nak cakap apa-apa pun susah,” katanya.

Menurutnya, jenazah arwah Mohd Firdaus akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu Enam, Muar, selepas selesai proses bedah siasat.

Sementara itu, Polis Muar menahan perempuan 17 tahun itu selepas mengaku membunuh suaminya.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima panggilan berhubung satu kes pembunuhan pada 1.43 petang.

Menurutnya, beberapa anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurut kenyataan media Polis Johor, hasil siasatan awal pihaknya merampas pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Hasil siasatan, suspek mengaku membunuh suaminya itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 10:18 PM