Sisa babi yang dibungkus di dalam plastik putih diletakkan di tepi tong sampah di Batu 9 ½, Jalan Skudai.


Skudai: Lebih 1,000 penduduk dan peniaga di Kampung Laut di sini, kesal dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa babi di tong besar di Batu 9 ½, Jalan Skudai, di sini, sejak dua tahun lalu.

Jurujual kenderaan, Zamri Sadon, 46, berkata, masalah timbul apabila ada pihak mengambil jalan mudah dan membuang sisa babi dalam bungkusan guni putih.

Katanya, sisa babi itu tidak diletakkan dengan betul hinggga berterabur di atas jalan akibat digigit anjing liar.

“Kami peniaga dan penduduk mengambil inisiatif membersihkan sisa yang berterabur bagi mengelakkan kawasan itu kotor dan busuk.

“Sisa itu dibuang terlalu banyak hingga melimpah dari tong dan berulat serta busuk. Lebih malang pihak berkenaan meletakkan sisa itu di tepi tong sampah akibat tong penuh.

“Lebih memburukkan keadaan apabila sisa berterabur itu digigit anjing dan dibawa masuk ke dalam kedai,” katanya.

Menurutnya, hampir setiap hari pihak terbabit membuang sisa itu seolah-olah tidak sensitif dengan masyarakat sekitar.

“Sebuah van kerap membawa beberapa karung plastik dan dibuang ke dalam tong itu. Ada juga yang menunggang motosikal dan mereka biasanya singgah waktu petang.

“Mereka yang makan babi itu, buanglah di kawasan rumah masing-masing atau sekitar perumahan bukan Islam. Kenapa perlu buang di sini seolah-olah mahu mengganggu ketenteraman kami.

“Saya bimbang sekiranya ada pihak yang tidak sabar dan mengambil tindakan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Wilayah Johor SWM Environment Sdn Bhd, Mohd Zan Arris berkata, kerja kutipan dan kebersihan sekitar kawasan tong sampah berkenaan dilaksanakan mengikut jadual perkhidmatan SWM Environment.

“Kami ambil maklum perkara berkaitan pembuangan sisa babi dan ia dipanjangkan kepada pengetahuan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bagi penempatan tong sampah kami hanya buat ikut arahan PBT dan mungkin ambil tindakan sewajarnya selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 7:44 AM