RISTEENA bawa peranan serius sebagai Doktor Azira tapi diselitkan dengan babak mencuit hati.
HM Digital

Tak semua pelakon mahu menerima tawaran berlakon dalam filem genre seram. Itu juga yang dialami Nur Risteena.

Namun, dia mencabar ‘ketakutannya’ apabila menerima tawaran berlakon filem seram Hantu Wangan yang kini dalam penggambaran.

Ia juga filem seram pertama lakonannya.

“Sebelum ini, ada beberapa filem seram yang ditawarkan, tetapi saya tak berani terima kerana belum bersedia.

“Sebenarnya saya penakut dan kalau sebut pasal hantu saja, akan kecut perut walaupun ia hanya filem sama ada seram atau komedi,” katanya.

Ada beberapa sebab yang membuatkan Risteena terus bersetuju ketika ditawarkan untuk memegang watak sebagai Doktor Azira dalam filem arahan Ahmad Idham itu.

“Selepas meneliti skrip, saya tertarik menjadi sebahagian daripada pelakonnya. Selain itu, saya juga selesa bekerja dengan pengarahnya, Ahmad Idham dan kru. Paling penting babak saya tidak memerlukan bertemu dengan watak hantu,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran dalam melakonkan watak sebagai Doktor Azira, Risteena ada ceritanya.

“Doktor Azira adalah pakar psikologi dan wataknya agak serius, namun diselitkan dengan beberapa babak mencuit hati antaranya memerlukan saya menari.

“Cabaran lain ialah saya perlu menghafal beberapa nama ubat dan prosedur tertentu untuk memastikan lakonan itu realistik,” katanya.

Selain Risteena, Hantu Wangan turut menampilkan pelakon Achey, Cat Farish, Nor Albaniah dan Ruminah Sidek.

Ditanya mengenai perkembangan terbarunya, Risteena juga baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Ombak Cinta.

“Dalam drama ini, saya bergandingan dengan adik, Ruhainies. Memang seronok apabila bergandingan dengan adik sendiri sebab mudah untuk kami melakukan latihan dan pergi bekerja.

“Insya-Allah, drama arahan pengarah, Azmi Hatta ini akan ditayangkan menjelang penghujung tahun ini sebanyak 13 episod,” katanya.

Selain itu, dia juga kini menantikan beberapa filem lakonannya yang akan ditayangkan tidak lama lagi antaranya ialah Qhaliq dan Blok 404. -Syafil Syazwan Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 4:46 AM