RUGAYAH mengharapkan Rubika yang mengalami sawan sembuh.
Khairul Najib Asarulah Khan


Seremban: “Walaupun dia berusia 31 tahun, keadaannya seperti bayi kerana perlu diberi tumpuan penuh,” kata Rugayah Sazar Ali, 59, ibu Rubika Herman yang menghidap sawan akibat demam panas.

Rugayah berkata, perubahan anak sulung daripada enam beradik itu berlaku ketika dia berusia dua tahun selepas kerap diserang sawan setiap hari.

“Jika mahu makan dia gigit kain kerana Rubika tidak boleh bercakap. Keadaannya merunsingkan jika saya dan suami sudah tiada.

“Kami buntu siapa yang uruskan Rubika kelak walaupun pelbagai ikhtiar kami lakukan. Sehingga kini kami belum dapat memulihkan dia. Mujur dia tiada penyakit lain,” katanya di rumahnya di Flat Seri Mawar, Fasa 2 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Kebajikan Asnaf dan Anak Yatim Kariah Masjid Taman Rasa Sayang (PAFAY) Zulkifli Mohamad.

Rugayah berkata, dia masih menyimpan harapan supaya anaknya itu pulih sekurang-kurangnya mampu menguruskan diri sendiri.

“Selain itu, kami perlukan wang untuk membeli lampin pakai buang selain menyara dia dan dua anak berusia 14 dan 18 tahun.

“Saya berniaga secara kecil-kecilan di rumah manakala suami bekerja sendiri dan baru saja sembuh daripada penyakit batu karang.

“Setakat ini, kami bergantung pada bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM200 daripada Baitulmal selain dibantu anak lain,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, Rugayah termasuk dalam senarai asnaf bawah kariah Masjid Taman Rasa Sayang.

“Dulu kami tidak tahu masalah dihadapiny, namun selepas ziarah baru tahu dia ada anak orang kurang upaya (OKU).

“Saya harap jumlah bantuan bulanan diterimanya itu dikaji semula dan kami akan ikhtiarkan bantuan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 6:24 AM