Mohd Shafie sebelum ditahan reman bagi membantu siasatan kes penyelewangan dana awam di Sabah. FOTO Edmund Samunting
Norasikin Daineh


PRESIDEN Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditahan reman selama empat hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana berjumlah RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Mohd Shafie yang juga bekas Menteri KLW, adalah individu ke-11 yang ditahan reman untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes itu.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Cindy Mc Juce Balitus di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Shafie dihantar semula ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HEQ1) untuk pemeriksaan kesihatan.

Dalam prosiding itu, SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rustam Anip dan Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basirudin.

Bekas Naib Presiden UMNO itu pula diwakili peguam-peguam Martin Tommy, Loretto Padua Jr, Darell Leiking, Chedric Choo, Hamid Ismail dan Zakaria Ismail.

Semalam Mohd Shafie tampil memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah sebelum ditahan jam 9 malam.

Bagaimanapun, beliau dimasukkan ke HEQ1 selepas itu kerana tekanan darah tinggi.

Sementara itu, seorang lagi ahli WARISAN, Amarjit Singh, 47, direman enam hari bagi membantu siasatan kes sama.

Setakat ini, SPRM sudah menahan reman 11 individu di Sabah dan Putrajaya, termasuk lima ahli politik dan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan. 

Di Sabah, individu yang ditahan, Naib Presiden WARISAN Datuk Peter Anthony, 46, dan Ketua Wira Datuk Mohd Azis Jamman, 43.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda UMNO Tenom Jamawi Jaafar, 43, Ketua Pemuda UMNO Tawau Ariffin Kassim, 44, dan seorang lagi ahli perniagaan Yu Sin Kong, 52.

Dua lagi, adik kepada Mohd Shafie iaitu Mohd Yusof, 57, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu dan Hamid, 52, yang juga ahli perniagaan, serta menantu Hamid, Manzur Hussien Awal Khan, 33.

Di Putrajaya, seorang wanita berusia 40 tahun yang juga bekas Timbalan Setiausaha di sebuah kementerian turut ditahan reman bagi membantu kes sama.

Bagaimanapun, lapan daripada mereka iaitu, Peter, Yu, Mohd Azis, Jamawi, Ariffin, Hamid, Manzur dan wanita terbabit dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan SPRM.

SPRM sebelum ini mendedahkan siasatan kes penyelewengan dana sebuah kementerian Persekutuan di Sabah membabitkan nilai RM1.5 bilion.

Ia berdasarkan peruntukan RM7.5 bilion untuk pelbagai projek pembinaan infrastruktur di negeri ini antara 2009 hingga 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 6:11 PM