PROSES menyiapkan burger menara 13 tingkat.
Analiza menunjukkan Burger Menara 13 Tingkat di Ana Burger d'Cafe.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Kangar: Bagi penggemar makanan barat khususnya peminat tegar burger, mereka pasti mencari kelainan dalam setiap hidangan burger yang dibeli.

Bagi pemilik restoran Ana Burger d’Cafe, Analiza Ahmad, 39, dirinya turut tidak terlepas untuk menghasilkan sesuatu lain dari yang lain apabila menghasilkan Burger Menara 13 Tingkat setinggi 0.6 meter di restoran miliknya di Jalan Syed Saffi, Bintong, di sini.

Memulakan perniagaannya pada 3 Oktober 2015 sebagai gerai burger kecil di tepi Jalan Syed Saffi, dia yang lebih selesa digelar Ana berkata, selepas beberapa bulan berniaga burger di tepi jalan, dia dan adiknya mula berfikir untuk mencipta satu kelainan memandangkan kewujudan warung burger bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

“Jadi saya dan adik mula hasilkan daging burger sendiri yang lebih berjus dan diletakkan keju di dalamnya selain memperbesarkan kedai sedikit demi sedikit sehingga berdirinya restoran ini.

“Restoran kami mula dikenali di negeri ini apabila saya yang pertama memperkenalkan kepelbagaian warna roti pada burger sebelum terciptanya burger menara berkenaan,” katanya.

Menurutnya, selepas melihat keistimewaan restoran makanan barat yang lain, dia mula terfikir untuk menghasilkan burger tingkat supaya pengunjung lebih mengingati restorannya.

“Saya bermula dengan menghasilkan burger tiga tingkat dan lima tingkat pada peringkat awal dan seingat saya lima tingkat pada waktu itu yang paling tinggi restoran ini hasilkan dengan harga RM20 setiap satu.

“Selepas itu, sedikit demi sedikit ketinggian burger dihasilkan sehingga sekarang mencapai ketinggian 13 tingkat, malah jumlah kakitangan restoran turut meningkat 24 orang,” katanya.

Katanya, antara isi kandungan terdapat dalam burger itu 13 daging burger berkeju setebal 3.5 sentimeter, 13 ayam goreng rangup, 13 telur goreng, salad, lelehan mayonis, sos dan jalapeno beserta dua roti di bahagian atas dan bawah selain kentang goreng sebagai hiasan di sekelilingnya.

“Burger Menara 13 Tingkat boleh dimakan lebih daripada 10 orang, malah pada satu ketika ada sekumpulan pelajar juga tidak dapat habiskan burger berkenaan.

“Harganya RM85 tapi kami jamin kepuasan yang pelanggan nikmati tidak akan dapat dijumpai di restoran makanan barat yang lain.

“Kami turut menjual menu lain, malah ada lebih dari 60 hidangan makanan barat termasuk nasi lemak istimewa, namun identiti restoran ini masih dikekalkan iaitu restoran Burger Menara,” katanya.

Ana mengakui majoriti pelanggannya terdiri daripada pengunjung luar. Ada dari Singapura dan Thailand sanggup ke Perlis semata-mata untuk menikmati kelainan burger di restorannya.

“Antara artis tempatan yang pernah membuat persembahan di sini seperti Sha, Kecik Hyper Act dan beberapa artis yang lain. Hakim Rosli juga bakal membuat persembahannya di restoran ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 2:49 AM