Cindra menunjukkan gambar pra perkahwinannya dengan Indah dan Perawti. - Foto Tribun News
Agensi

KELAM kabut urusan pernikahannya dengan dua wanita dalam masa tiga hari, minggu depan, menyebabkan Cindra jatuh sakit kerana tertekan apabila ada berita pernikahan itu mungkin dibatalkan.

Sebeluum ini, tersiar berita Cindra dari Kecamatan Sungai Lais, Musi Banyuasin (Muba), akan berkahwin dengan Indah Lestari pada 6 November dan dengan Perawati tiga hari kemudian. Majlis resepsi diadakan pada 9 November.

Urusan pernikahan itu menjadi agak sukar apabila jabatan agama tidak membenarkan dia mengahwini Perawati sebagai isteri kedua tanpa permohonan.

Kompas melaporkan, Pengarah Pejabat Wilayah Kementerian Agama Sumsel, Alfitri Zabidi, berkata suami yang mahu berpoligami perlu menghantar permohonan namun sehingga kini belum ada permohonan dibuat.

Menurutnya, hanya ada satu pernikahan didaftar iaitu antara Cindra dengan Indah manakala pernikahan dengan Perawati, tiada permohonan.

Tribun News melaporkan Rustam, iaitu bapa saudara Cindra, berkata anak saudaranya itu akan berkahwin dengan Indah terlebih dahulu dan selepas itu pihaknya akan mengemukakan permohonan perkahwinan dengan Perwati agar memathui undang-undang.

Cindra yang ditemui di rumah keluarganya semalam, berkata keadaan itu menyebabkan pernikahannya hampir dibatalkan.

Dia dijadual berkahwin dengan Indah pada 5 November ini dan dengan Perawati tiga hari kemudian sebelum bersanding bersama-sama pada 9 November.

Cindra berkata, keluarga bakal pengantin wanita yang tertekan kerana menjadi tumpuan orang ramai hampir membatalkan perkahwinan mereka.

“Saya sangat terkejut dan jatuh sakit apabila mendapat berita perkahwinan kami akan dibatalkan.

“Saya sudah membelanjkan banyak wang termasuk menjemput 1,500 tetamu ke majlis itu nanti.

Namun, saya gembira apabila keluarga bakal pengantin perempuan tidak meneruskan niat itu,” katanya yang berkerja sebagai mekanik jentera berat.

Menceritakan kisah pertemuan dengan dua bakal isterinya, Cindra memberitahu, dia bercinta dengan Perawati selama setahun sebelum menjalin hubungan dengan Indah secara senyap-senyap.

“Hubungan saya dengan Perawati terputus seketika kerana telefon hilang, apatah lagi saya bekerja jauh,” katanya.

Menurutnya, selepas beberapa bulan berkenalan dengan Indah, dia datang bertemu keluarga wanita itu untuk meminang.

“Pada hari yang sama keluarga Perawati juga datang ke rumah keluarga saya dan mahu kami berkahwin.

“Selepas berbincang dengan kedua-dua keluarga akhirnya Indah dan Perawati bersetuju untuk berkahwin dengan saya,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 11:29 PM