EMMA Maembong. FOTO Amir Naufal Photography
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


Bagi sesetengah pasangan bercinta, mereka lebih senang merahsiakan hubungan dengan alasan mahu menjaga hati atau berasakan tidak perlu berkongsi disebabkan belum ada ketentuan.

Bagaimanapun tidak bagi pelakon popular Emma Maembong, 25, yang bercinta dengan pelakon Kamal Adli.

Emma akui dia berkongsi semua perkara dan tiada rahsia antara mereka.

Sewaktu ditemui dalam sesi fotografi khas, Emma menjelaskan memang sejak awal perkenalannya dengan Kamal dia mengamalkan sikap telus dan jujur.

Katanya, sebaik berkenalan mereka membentuk hubungan menjadi persahabatan yang mana seorang kawan baik boleh mengadu dan bercerita apa saja tanpa ada perasaan prejudis disebabkan perasaan cinta dan cemburu.

“Kamal tahu hubungan baik saya dengan ahli perniagaan dari Sabah, Datuk Salim Rahman yang baru-baru ini timbul cerita mahu meminang ketika hubungan saya dan Kamal berhadapan masalah.

“Memang Kamal tahu saya berkawan dengan Salim kerana dia adalah kenalan keluarga. Abang ipar saya kawan baik dia.

“Sebenarnya soal meminang timbul selepas kakak dan abang ipar saya mengusik Salim agar dia masuk meminang saya,” katanya.

Mengenai cerita meminang ini, Emma akui sudah banyak lamaran yang diterima. Setiap kali ada orang menyatakan hasrat untuk berkahwin dengannya, perkara itu akan diberitahu kepada Kamal.

“Saya beritahu Kamal kerana saya ikhlas dan bukan memberi ugutan agar dia juga melakukan perkara sama. Pada saya, perkara seperti ini terletak kepada jodoh dan ketentuan-Nya,” katanya.

Kata Emma, ramai mahu meminangnya selepas dia mengatakan selepas ini apa juga berlaku dia tidak mahu lagi bercinta sebaliknya mahu terus bernikah.

“Memang saya ada memberi kenyataan seperti itu tetapi pada saya lebih baik lelaki yang mahu meminang, beri diri mereka masa untuk kenal dulu keperibadian saya.

“Begitu juga sebaliknya. Kenal dulu beberapa bulan dan kemudian baru ambil keputusan,” katanya.

Mengenai hubungannya dengan Kamal selepas kontroversi ‘petik nama’ turut membabitkan Zahirah McWilson dan Zul Ariffin yang hangat diperkatakan sebelum ini, tegas Emma, dia lebih senang mengekalkan hubungan persahabatan yang hampir empat tahun terjalin dengan Kamal.

“Saya rasa lebih baik kami berkawan. Seperti yang pernah saya nyatakan dulu, antara kami biar jodoh yang tentukan. Walaupun kelak Kamal bukan suami mahupun kekasih saya, tetapi saya tidak akan kehilangan dia kerana kami masih boleh terus berkawan.

“Saya sendiri senang begitu. Malah umum menyedari saya tidak pernah bermusuh atau memutuskan hubungan dengan semua bekas kekasih saya termasuk Zizan Razak,” katanya.

Emma akui mereka masih lagi bertemu dan berhubung. Malah Kamal juga ada turun ke lokasi penggambaran drama terbarunya, Jangan Padam Rindu.

“Cuma kami tidak seperti sewaktu sedang hangat bercinta yang setiap pagi akan membuat panggilan dan bergayut. Sekarang ini sebagai kawan kami akan berhubung bertanya khabar andai perlu saja.

“Begitupun, sebagai kawan bagaimana saya sering meluahkan perasaan saya pada Kamal begitu juga dengan Kamal turut melakukan perkara sama. Kami berdua tidak punya halangan walaupun hubungan tidak seperti dulu,” katanya.

Mula bina empayar perniagaan

Dunia perniagaan tidak asing bagi Emma Maembong. Malah sejak namanya memuncak, dia sudah berjinak-jinak berniaga kecil-kecilan dengan menjual tudung.

Bagaimanapun, perniagaannya tidak sehebat apabila dia membuat keputusan mengeluarkan jenama hijab, My Sketchbook Shawl.

Bukan itu saja, dia kini turut mengeluarkan produk pakaian dan kasut, set penjagaan rawatan kulit muka dan akan datang alat solek.

Kata Emma, dia bertuah kerana kakaknya juga bersama-sama dengannya membangunkan perniagaan yang rancak dilaksanakan.

“Sebelum ini saya ada berniaga dan mengusahakannya dengan rakan tetapi tidak dapat dijalankan dengan baik kerana masing-masing sibuk.

“Cuma kali ini saya beruntung kerana perniagaan ini dilaksanakan dengan kakak sendiri. Mereka memang memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan kami usahakan,” katanya.

Mengenai kata orang mengusahakan perniagaan dan soal duit dengan adik-beradik bahaya kerana kalau timbul perasaan tidak puas hati mahu bergaduh dan berantakan. Hubungan persaudaraan boleh putus.

Kata Emma, dia ada pandangan berbeza. Dia lebih percaya kata pepatah hubungan adik-beradik ibarat air dicincang tidak akan putus.

“Bagi saya pepatah itu memang benar. Buruk macam mana pun saya dan kakak-kakak tetap adik-beradik. Bergaduh macam manapun, akhirnya hubungan kekeluargaan yang ada akan membuatkan kami berbaik.

“Seperkara lagi, jarak hubungan saya dengan kakak sulung dan nombor dua yang sama-sama mengusahakan perniagaan ini sangat jauh. Usia

mereka mencecah 40 dan saya baru 25. Dari sudut itu sudah tentu rasa hormat saya terhadap mereka tinggi dan kasih mereka kepada saya seperti ibu,” katanya.

Dalam membina perniagaan ini bersama, kata Emma mereka mengamalkan sikap profesional apabila bekerja dan tidak terlalu terikut dengan kata hati.

Contohnya apabila setiap kali masuk bilik mesyuarat mereka akan letak tepi soal adik-beradik. Waktu itu apa saja kesalahan, teguran dan penambahbaikan akan diutarakan dan diperjelaskan.

“Apa yang penting, dalam mesyuarat itu segala masalah perniagaan diusahakan ini dapat diselesaikan dan sebaik keluar saja dari bilik mesyuarat, kami akan letak tepi soal kerja. Kami kembali sebagai adik dan kakak.

“Dalam membina empayar perniagaan ini, saya melihat Neelofa sebagai contoh terbaik yang mana perniagaan dilakukan turut diusahakan bersama ahli keluarga.

“Mereka tidak pernah menghadapi masalah sehingga boleh memecahkan hubungan kekeluargaan. Dia menjadi contoh terbaik buat saya untuk membina empayar perniagaan sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 3:49 AM