Mia ditemui bersendirian di Bandar Baru Uda pada awal pagi hari ini.
Mary Victoria Dass


‘NAMA saya Mia’. Itu antara yang diungkapkan kanak-kanak perempuan dianggarkan berusia tiga hingga empat tahun yang ditemui bersendirian dan dipercayai mangsa pengabaian ibu bapa.

Pelindung kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor Bahru, Zaid Ikhwan Lim berkata, kanak-kanak berkenaan ditemui oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) pada 1.50 awal pagi hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan ditemui tanpa pengawasan ibu bapa di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Padi 1, Bandar Baru Uda, Tampoi di Johor Bahru.

Menurutnya, ketika ditemui kanak-kanak berkenaan memakai baju tidur lusuh bewarna putih serta berseluar putih.

Katanya, anggota polis yang menyelamatkan kanak-kanak berkenaan membawanya ke Balai Polis Tampoi di sini.

"Laporan polis juga dilakukan di Balai Polis Tampoi pagi tadi.

"Kanak-kanak berkenaan kemudian dirujuk kepada JKM," katanya.

Zaid berkata, pemeriksaan pada kanak-kanak berkenaan tidak menemui sebarang kecederaan pada tubuhnya.

Menurutnya, namun kanak-kanak berkenaan tidak mampu memberi maklumat tepat berkaitan ibu bapa atau keluarganya.

"Dia boleh bercakap Bahasa Melayu namun hanya memaklumkan namanya.

"Dia tidak mengetahui nama ibu bapanya.

"Kami yakin dia warga tempatan dan usaha mengesan keluarga kandungnya di sekitar kawasan Tampoi masih gagal hingga kini," katanya.

Zaid berkata, pihaknya berharap keluarga kanak-kanak berkenaan tampil menghubungi JKM bagi membincangkan masa depannya.

"Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan keluarga kanak-kanak berkenaan juga boleh hubungi talian 07-2232606 atau 07-2232607.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 7:28 PM