CAHILL ada niat tinggalkan Melbourne City. FOTO EPA-EFE
AFP

Sydney: Gesaan Tim Cahill untuk diberikan lebih masa bermain mengejutkan jurulatihnya dan meningkatkan prospek perpindahan pemain veteran itu selepas Australia layak ke Piala Dunia, kelmarin.

Australia meraih tiket Piala Dunia buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Honduras di sini pada aksi playoff kedua dan layak dengan agregat 3-1 ketika kapten, Mile Jedinak tampil cemerlang apabila meledak hatrik.

Cahill sebelum ini memberitahu Fox Sports Australia selepas kemenangan itu dia “mahu membuat keputusan yang besar di tahap di mana saya bermain sekarang dan apa yang ingin saya lakukan.”

“Saya perlukan lebih masa bermain,” kata Cahill yang sudah bermain sebanyak 104 perlawanan bersama Australia dan mencecah usia 38 tahun, bulan depan.

Tonggak Australia itu jarang diturunkan oleh jurulatih kelabnya di Melbourne City, Warren Joyce dalam aksi Liga A musim ini dan komennya sejurus perlawanan itu memberi petanda dia mungkin akan meninggalkan kelab itu jika keadaan sama berterusan.

Joyce pula memberitahu wartawan beliau tidak mendengar komen sama daripada Cahill.

Ketika sidang media Liga A, Joyce menyatakan beliau melayan Cahill “sama seperti pemain lain” dan dengan itu ia membantunya untuk mengimbangkan komitmennya di peringkat kelab dan negara.

“Saya fikir dengan kemampuannya bermain selama 120 minit dalam satu perlawanan (menentang Syria) tanpa bermain banyak dengan kami... ia satu pujian kepada pasukan perubatan dan staf sains sukan di sini.

“Saya fikir rancangannya adalah mungkin untuk membantu Timmy dan juga Australia.”

Cahill mengatasi masalah kecederaan buku lali untuk mengemudi Australia dalam kempen Piala Dunia, tetapi bagi aksi menentang Honduras, Jedinak yang mencuri tumpuan.

Gol pertamanya hadir menerusi sepakan percuma sebelum menambah dua lagi gol menerusi sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 3:48 AM