BEBERAPA kategori kad konsesi yang dirampas. FOTO NSTP
Siti Fatimah Nasir


Kuala Lumpur : Golongan pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dikesan antara yang paling mudah diperalatkan ahli keluarga sendiri dalam penyalahgunaan kad konsesi MyRapid yang baru diperkenalkan pada Julai lalu.

Tembelang itu pecah apabila MyRapid berjaya membongkar kegiatan penyalahgunaan kad berkenaan dalam satu operasi besar-besaran yang dijalankan baru-baru ini bagi mengesan penyalahgunaan kad konsesi membabitkan pengguna sistem rel transit dan bas.

Dalam operasi selama dua hari, 81 kad konsesi terdiri daripada 48 kad konsesi pelajar, 31 kad konsesi warga emas dan dua kad konsesi OKU dirampas.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Datuk Zohari Sulaiman dalam satu kenyataan berkata, kad konsesi MyRapid itu disediakan khusus untuk pelajar, warga emas dan OKU untuk menikmati kadar diskaun tambang hingga 50 peratus bagi semua perkhidmatan di bawah kendalian Rapid KL.

“Dalam perkara ini, kami dapati ada pelajar yang diperalatkan ahli keluarga mereka untuk memohon kad konsesi terbabit malah disalahgunakan ahli keluarga sendiri untuk berulang-alik ke tempat kerja.

“Bukan itu saja, terdapat juga kes di mana warga emas memberikan kad konsesi mereka kepada ahli keluarga untuk tujuan sama,” katanya.

Beliau menegaskan, kad konsesi MyRapid tidak boleh dipindah milik seperti mana tertakluk dalam terma dan syarat.

“Pengguna yang dikesan menyalahgunakan kad konsesi MyRapid akan disenarai hitam selain kad mereka juga akan dirampas.

“Pasukan pemantau MyRapid juga akan memperhebatkan operasi ini sehingga tiada lagi yang berani melanggar undang-undang,” katanya.

Pengguna yang ingin menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan tiket boleh menghubungi khidmat pelanggan Rapid KL di talian 0378852585 atau berhubung terus menerusi media sosial Rapid KL.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 5:26 AM