FOTO HIASAN
Mary Victoria Dass


DUA beranak maut dalam kemalangan empat kenderaan di Jalan Pagoh-Parit Sulong, Muar, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata kemalangan itu meragut nyawa Norzaimah Abu Bakar, 31, dan anaknya, Mohamad Danial Akif Mohd Saifulbakatiar, lapan tahun.

Katanya, dia beranak itu berasal dari Kampung Parit Abd Hadi Mukim 4 Simang Kiri, Batu Pahat dan kemalangan berlaku pada 8.21 malam.

Beliau berkata, Mohd Saifulbakatiar Md Saion, 37, iaitu suami Norzaimah dan anak perempuan mereka, Nur Diyanah Syazwani, sembilan tahun, mengalami kecederaan.

Menurutnya, kemalangan membabitkan dua kereta, lori dan motosikal.

“Hasil siasatan awal mendapati lori muatan tong bahan kimia yang dipandu lelaki berusia 63 tahun bersama kelindan sedang menghala ke Parit Sulong.

“Tiba di tempat kejadian lori itu cuba mengelak motosikal yang berada di laluan sama.

“Lori berkenaan memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta dipandu Norzaimah. Kereta keluarga itu terbabas dan terbalik ke bahu jalan sebelah kanan.

“Ketika itu, sebuah kereta merempuh lori berkenaan dari belakang namun pemandu dan penumpang kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Dzulkhairi berkata, penunggang yang dipercayai warga Indonesia melarikan diri.

“Ketika kejadian cuaca agak baik namun laluan berkenaan gelap kerana tiada lampu jalan.

“Mohd Saifulbakatiar cedera di seluruh tubuh dan Nur Diyanah Syazwani patah paha sebelah kanan.

“Pemandu lori yang patah tulang rusuk masih dirawat di Zon Merah di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

“Siasatan dijalankan mengikur Sekseyen 41(1) (A) APJ 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 11:30 AM