HASAN sempat bergambar di pokok yang daunnya berguguran. IHSAN Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman
Osman Lisut
manlee@bh.com.my


KEADAAN berbeza dialami Wira Daratan, Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman ketika melalui dua negara berlainan ketika menyempurnakan Misi Kayuhan Solo 8 Negara Balkan 2017.

Ketika berkayuh di Serbia minggu lalu, Hasan dihidangkan dengan keindahan daun-daun berwarna kuning kemerah-merahan yang berguguran.

Namun di Bosnia suhu dingin hingga 3 Celcius serta sesekali hujan di malam hari menantinya.

“Pakai baju tiga empat lapis pun, kedinginan suhu masih lagi terasa. Ditambah pula berkayuh di dalam hutan, begitu mencabar sekali.

“Tidak hairanlah apabila sampai di hotel penginapan, saya terus meminta pekerjanya memasang alat pemanas.


BERSARAPAN di Mokra Gora sebelum memulakan kayuhan ke Visegrad, Bosnia. IHSAN Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman

“Menariknya, mereka masih mengekalkan pemanas asli menggunakan kayu yang dibakar,” katanya kepada Harian Metro.

Situasi berkenaan sedikit sebanyak memberi tekanan kepada rakyat Malaysia pertama yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) kerana berbasikal mengeliling dunia pada 2001-2002 itu.

“Walaupun misi kali ini agak santai, namun saya terpaksa mementingkan penjagaan kesihatan kerana apabila terdedah kepada kesejukan melampau boleh mempengaruhi ketahanan mental.

“Pada masa yang sama, diuji dengan rim basikal yang bengkok dan jejarinya patah, gara-gara terlanggar lubang serta tayar pancit seakan menjadi asam garam orang berbasikal. Sudahlah tiada alat ganti dan hari Ahad kebanyakan kedai basikal di Serbia tutup, menyebabkan saya termenung seketika memikirkannya.


LADANG dan rumah agam milik orang kaya di Serbia. IHSAN Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman

“Saya bernasib baik menemui seorang remaja Serbia di Krusevac menunjukkan sebuah kedai basikal, tetapi malangnya ia adalah kedai menjual basikal kanak-kanak.

“Kerana prihatin, pemilik kedai menghubungi rakannya yang mempunyai kedai basikal dan beliau datang berbasikal untuk membantu,” katanya.

Hasan berkata, tidak mahu kerosakan yang lebih teruk beliau terpaksa menolak basikalnya sejauh 1 kilometer untuk ke premis rakan barunya, Dayan.

“Malang sekali lagi, Dayan juga tidak memiliki stok jejari basikal yang sepadan dan kami terpaksa menunggu hampir sejam alat ganti yang baru.

“Dayan begitu komited dengan pekerjaannya dan tidak sampai 10 minit beliau mengatasi masalah yang timbul. Saya juga bernasib baik kerana orang Serbia sedia membantu dan mengenakan caj yang minimum,” katanya.

Seperti Bulgaria, Serbia juga tidak ketinggalan menjadi medan peperangan yang turut menyaksikan bangunan masjid yang dibina ketika kecemerlangan Islam Eropah dirobohkan tentera Kristian ketika Perang Salib pada 1877.

Lebih malangnya, Serbia tunduk di bawah pemerintahan komunis Yugoslavia (Presiden Tito) hampir 50 tahun selepas Perang Dunia Kedua, sekali gus pengaruh Islam di negara Balkan berkenaan turut hancur seperti Sepanyol (Kerajaan Andalusia).


TEROWONFG Sokolaca di Visegrad bagi menghubungi pintu sempadan Bosnia-Serbia. IHSAN Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman

Katanya, hajat hati hendak berehat dan menginap di Kraljevo, namun melihat jam sekitar 2 petang, beliau meneruskan kayuhan ke Cacak yang jaraknya kira-kira 32 kilometer.

“Tertipu saya, ingatkan laluannya landai seperti Krusevac ke Kraljevo, rupanya berbukit-bukit hingga terpaksa turun menolak basikal yang begitu meletihkan. Saya sampai ke Cacak jam 4.30 petang dan hari sudah gelap.

“Memandangkan ketika tengah hari hanya makan biskut dan buah-buahan, perut mula berkeroncong. Apabila lagi terpaksalah cari kedai serbaneka untuk membeli roti buku, kuah kacang , pisang dan air buah.

“Hendak makan pizza tidak berani kerana semuanya ada babi, mahu tak mahu telan jer pisang,” katanya.

Jarak Cacak ke sempadan Serbia-Bosnia hanya 100 kilometer, namun ia tidak mudah seperti disangkakan. Cuaca sekali lagi mempengaruhi pergerakan daripada 7 Celcius turun ke 5 Celcius di tengah hari.

Katanya, menjelang senja turun mendadak ke 3 Celcius menyebabkan baju empat lapis yang dipakai tidak mampu menahan kedinginan malam di Pozega.

“Sebelum mendaftar masuk ke hotel, saya sempat membeli kasut dan seluar penahan cuaca sejuk.

“Kasut yang saya pakai sejak dari Malaysia sudah pun lekang dan lubang yang ada menyebabkan kaki berasa kebas bila suhu menjengah 5 Celcius.

“Ketika berbual dengan seorang kenalan baru di Pozega, beliau memberitahu di pintu sempadan, Mokra Gora ada hotel bajet.

“Memandangkan jaraknya hanya sekitar 50 kilometer, saya mengambil keputusan untuk mengayuh, ditambah pula laluannya agak landai,” katanya.

Hasan berkata, ketika berehat di sebuah hotel di Mokra Gora, berita televisyen memaklumkan cuaca sejuk yang melanda adalah kerana salji sudah mula turun di Banja Luka, Bosnia.

“Jam 8.30 pagi lagi saya sudah selesai sarapan pagi. Kalau sebelum tiga lapis pakaian, kali ini bertambah menjadi lima lapis.

“Jangka suhu di hotel menunjukkan 5 Celcius, namun saya yakin ia berkemungkinan 1 atau O Celcius, memandang dinginnya teramat sangat hingga terasa ke tulang selubi.


JAMBATAN Solokovic yang merentasi Sungai Drina dibina jurutera Sinan ketika zaman Khalifah Uthamaniyyah. IHSAN Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman

“Selepas mengayuh di dalam hujan hampir dua jam, saya sampai ke pintu sempadan Bosnia, Visegrad. Saya bersyukur akhirnya sampai ke Bosnia, negara yang saya ingin lawati dan berkayuh basikal.

“Hati tersenyum puas terdapat masjid di Visegrad, berbanding puluhan gereja di Serbia. Dalam kesejukan mengayuh saya sempat berehat dan solat di masjid berkenaan bagi mengembalikan tenaga,” katanya.

Menjadi kebiasaan bekas Datuk Bandar Ipoh ini, sampai di sesebuah negara, beliau akan membeli kad SIM bagi memudahkannya berhubung dengan keluarga atau dengan penulis.

“Malangnya selepas kad SIM diaktifkan, hendak ditambah nilai ramai pekedai tidak pandai berbahasa Inggeris, terpaksalah saya meminta bantuan staf hotel.

“Dengan perkataan Bosnia ‘Kopuna’ saya kembali ke kedai yang menjual kad SIM. Selesai satu bab dapatlah melayari Internet dan menelefon dari Bosnia,” katanya.

Ketika menginap di hotel, beliau menerima pesanan daripada Duta Malaysia ke Bosnia dan meminta datang menemui beliau apabila sampai di Sarajevo.

“Bagaimanapun, saya ingin berkayuh di sekitar Visegrad sebelum ke Sarajevo yang memakan masa dua hari.

“Menariknya di Visegrad ialah terdapat tinggalan binaan zaman Uthmaniyyah iaitu Jambatan Sokolovic.

“Jambatan yang direka jurutera terkenal, Sinan pada kurun ke-16 itu turut dibina sebuah tembok yang tertulis ayat suci al-Quran di tengah-tengah.

“Bayangkan, betapa hebatnya jurutera Islam ketika ini membina jambatan menyeberangi Sungai Drina yang masih kukuh hingga sekarang,” katanya.

Hasan sekali lagi diuji apabila tayar belakang basikalnya pancit, bagaimanapun beliau bernasib baik kerana kerosakan berkenaan berlaku di hotel, bukannya di tengah jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 1:18 AM