ANDI Bernadee. FOTO Eizairi Shamsudin
ANDI Bernadee. FOTO Eizairi Shamsudin
Syafil Syazwan Jefri


Sebelum ini, nama Andi Bernadee pernah tular buat seketika menerusi aplikasi Smule.

Namanya mula menjadi sebutan selepas menyanyikan semula lagu Putus Terpaksa nyanyian asal Ziana Zain.

Namun, selepas munculnya ramai penyanyi daripada aplikasi sama seperti Khai Bahar dan Wany Hasrita, namanya sedikit tenggelam.

Kini, Andi sekali lagi tular di media sosial selepas memuat naik video menyanyikan lagu Tak Tun Tuang, sekali gus mencipta fenomena.

“Semuanya berlaku tanpa dirancang. Pertama kali mendengar lagu Tak Tun Tuang, ia melekat dalam kepala saya.

“Sebenarnya, ketika rakamkan video menyanyikan lagu itu, saya baru bangun dan belum mandi. Jadi, ia sekadar hiburan untuk teman saya saja dan kena dengan liriknya,” katanya kepada RAP.

Menurut penyanyi berasal dari Sabah ini, dalam masa dua jam selepas dimuat naik, dia mula menerima ratusan komen daripada pengikut di Instagramnya.

“Selepas itu, saya kongsikan video sama di Facebook. Selepas 12 jam, video itu menerima lebih 200,000 tontonan,” katanya.

Walaupun pernah muncul dengan single pertamanya berjudul Tiada Lagi Maafmu, ia sedikit tenggelam berbanding lagu nyanyian semula yang dinyanyikan olehnya.

“Tak mengapa kalau orang lebih kenal saya sebagai penyanyi lagu saduran atau ‘cover’. Bagi saya, kalau orang kenal, perlahan-lahan mereka akan tahu lagu saya sendiri juga,” katanya.

Dilancarkan Mac lalu, Tiada Lagi Maafmu juga dihasilkan dalam bentuk video muzik dan dimuatnaik ke YouTube sejak Ogos lalu.

Sehingga kini, ia ditonton lebih 60,000 kali.

ANDI Bernadee. FOTO Eizairi Shamsudin
ANDI Bernadee. FOTO Eizairi Shamsudin

Terkejut peminat pengsan

Melihatkan kejayaan rakan seperti Khai dan Wany yang kini melangkah ke pentas lebih besar tidak pernah mematahkan semangat Andi.

Malah, tidak pernah timbul rasa iri hati dengan kejayaan rakan seperjuangannya itu.

“Itu adalah rezeki mereka. Rezeki saya juga ada, cuma mungkin saya lebih lambat ‘panas’ berbanding mereka,” katanya.

Walaupun di Malaysia namanya baru menapak semula, penyanyi berusia 26 tahun ini sebenarnya sudah berjaya mencuri hati peminat dari Singapura.

“Ketika awal-awal kemunculan saya dulu, saya lebih dikenali di Singapura. Mungkin kerana waktu itu, ramai pengikut di aplikasi Smule lebih ramai di negara itu.

“Saya pernah mengadakan sesi ramah mesra bersama peminat di sana dan alhamdulillah, sambutan yang diberikan tidak mengecewakan,” katanya.

Beberapa hari lalu, kejutan buat Andi apabila ada peminatnya yang pengsan ketika dia membuat persembahan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

“Itu adalah kejadian pertama. Memang saya terkejut, tapi ia mengajar saya supaya lebih tenang dan bertindak dengan bijak bagi mengendalikan situasi sebegitu,” katanya.

Selain nyanyian, Andi juga menyimpan impian untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan.

“Kalau ada tawaran, saya tak akan menolak. Saya tak ada pengalaman atau ilmu dalam bidang lakonan secara formal, tapi minat itu memang ada,” katanya.

Tidak hanya sekadar di media sosial, Andi juga ingin namanya berkembang dalam industri arus perdana.

“Kalau boleh, saya nak dikenali oleh seluruh masyarakat dan mendekati mereka semua. Tak semua orang aktif dan ada media sosial.

“Jadi, kalau boleh, saya ingin nama turut dikenali mereka di pedalaman dan tidak hanya sekadar di dunia maya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 4:41 AM