FATTAH bersama Fazura. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Syafil Syazwan Jefri


Selama 10 hari, pelbagai spekulasi timbul berkaitan nama dua figura, Fattah Amin dan Fazura. Ada yang mengatakan kedua-duanya sudah berkahwin dan ada juga yang berpendapat sebaliknya.

Semua persoalan itu terjawab apabila kedua-duanya mengadakan sesi sidang media kelmarin, bagi menjernihkan keadaan sekali gus memberikan jawapan kepada rakan media dan peminat.

“Kami belum bernikah ketika menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah dan belum ada apa-apa perbincangan mengenai majlis resepsi dan sebagainya,” kata Fattah.

Dia juga yang mewakili Fazura berkata, kedua-dua mereka kini dalam proses perancangan untuk mengikut prosedur yang sepatutnya.

“Kami akan mengikuti kursus perkahwinan, sama seperti pasangan lain yang akan berkahwin. Selepas itu, kami akan melalui proses permohonan perkahwinan dan diharap, semua dapat mendoakan yang terbaik,” katanya.

Namun begitu, Fattah juga memberitahu bahawa mereka sudah bertunang pada 13 November lalu.

“Pada 13 November lalu, keluarga saya menghantar rombongan merisik, seterusnya majlis bertunang di rumah keluarga Fazura. Alhamdulillah, kedua-dua majlis selamat dijalankan, sebelum kami berangkat menunaikan umrah,” katanya.

Menurut Fattah, kedua-dua mereka sepakat untuk tidak berkongsi mengenai berita pertunangan itu memandangkan kedua-duanya ingin memberikan fokus pada ibadah.

“Kami sepakat dengan keluarga kedua-dua belah pihak untuk berkongsi mengenai pertunangan ini selepas pulang dari Tanah Suci Makkah.

“Itu adalah atas permintaan keluarga dan rasanya, dengan cara itu, kami akan lebih fokus dalam melakukan ibadah,” katanya.

Ditanya mengenai majlis pernikahan, Fattah meminta supaya dia dan Fazura diberikan ruang untuk menjaga privasi keluarga.

“Sekali lagi, atas permintaan keluarga, kami meminta sedikit ruang privasi kepada saya, Fazura dan keluarga kedua-dua belah pihak untuk mengadakan majlis pernikahan secara tertutup.

“Insya-Allah, kami akan mengundang semua rakan media untuk meraikan majlis resepsi nanti. Berkemungkinan, kami akan mengadakan dua majlis iaitu untuk keluarga dan rakan media serta untuk peminat,” katanya.

Bagaimanapun, Fattah belum memberikan tarikh tepat untuk majlis pernikahan dan resepsi itu.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat kami akan bernikah. Untuk majlis resepsi, mungkin pada tahun depan,” katanya.


KETIKA di Tanah Suci.

Belum bernikah

Pasangan Fattah dan Fazura juga menafikan majlis keramaian yang berlangsung di kediaman nenek Fazura pada

14 November lalu adalah majlis pernikahan mereka.

“Itu adalah majlis doa selamat sempena kami berangkat ke Tanah Suci Makkah. Tiada majlis pernikahan berlangsung pada 14 November itu seperti diperkatakan ramai,” katanya.

Fazura pula menganggap dirinya sebagai wanita yang degil menganggap pertemuannya dengan Fattah sebagai takdir yang sudah ditentukan.

“Perkahwinan itu amat jauh pada diri saya kerana lebih mementingkan karier. Tapi, dengan kuasa Allah SWT, selepas bertemu Fattah dan mengenalinya beberapa bulan, semua itu berubah dan saya berasa, dia adalah masa depan,” katanya.

Menurut Fazura, Fattah beberapa kali menyebut mengenai perkahwinan, tapi dia cuma menganggap itu sebagai gurauan.

“Sebelum ini, saya anggap ia sebagai gurauan. Tapi, bila dia datang bersama keluarga dan melamar pada majlis merisik, saya terus terima,” katanya.

Tampil polos dengan berbusana putih dan berhijab, Fazura tidak memberikan jawapan tatkala ditanya sama ada itu adalah imej yang akan dikekalkan atau tidak.

“Saya baru pulang menunaikan ibadah umrah. Sebagai pelakon, ada beberapa komitmen dan projek lagi yang perlu saya fikirkan. Jadi, doakan yang terbaik untuk saya,” katanya.

Kronologi kisah cinta Fattah dan Fazura bermula apabila kedua-duanya membintangi drama bersiri Hero Seorang Cinderella sehingga membuatkan peminat mencipta gabungan nama berserta hashtag #FattZura.

Sejak dari itu, gerak geri kedua-dua mereka sentiasa menjadi bualan netizen sehingga pada 13 November lalu, tersebar berita mengenai pertunangan mereka dan dikatakan bernikah pada 14 November.

Ketika mengerjakan umrah, pelbagai spekulasi timbul, sekaligus ada yang menganggap pasangan itu, sudah bernikah ketika berada di Tanah Suci.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 4:39 AM