SHUKRI Yahya.


Tahun 2017 yang bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi meninggalkan seribu satu kenangan buat pelakon tampan, Shukri Yahaya.

Jika dihitung dengan teliti, tahun ini lebih banyak memberi kemanisan buatnya. Apa tidaknya, drama lakonannya di TV3, 7 Hari Mecintaiku berjaya ‘menyihir’ penonton sehingga mencetuskan fenomena luar biasa.

Buktinya, eksplorasi bakat dimiliki berjaya menjulang namanya sebagai Pelakon Lelaki Pilihan menerusi lakonannya itu pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2017, April lalu.

Bukan itu saja, lakonan Shukri terus dipuji apabila berjaya melakonkan watak Airil dalam drama bersiri Andainya Takdir yang menemui penonton TV3 pada 29 Mei lalu. Memegang watak seorang yang panas baran dan kemudian bersikap romantik terhadap isterinya, Fatihah lakonan Nina Iskandar turut mencipta magis tersendiri sehingga sering menjadi bahan ‘panas’ (trending) di Twitter.

Ternyata kredibiliti dan komitmen padu yang diberikan Shukri dalam dramanya setiap tahun berjaya membuatkan penonton terpegun sekali gus dia terus bertahan dalam industri. Bersyukur dan gembira dengan perjalanan seni yang diatur setiap tahun, pemilik nama sebenar Mohd Shukri Yahaya berharap 2018 yang bakal menjelma kurang dari sebulan akan mengekalkan kedudukannya sebagai pelakon yang berjaya memberi impak khususnya kepada peminat.

“Dalam setiap naskhah dibintangi, saya mengharapkan yang terbaik. Alhamdulillah apa yang saya hajatkan setiap tahun tercapai dan sentiasa berdoa serta berusaha agar ia dapat dikekalkan. Saya mengharapkan laluan kerjaya seni tahun depan akan lebih sukses dan mendapat karya yang bagus.

“Setiap tanggungjawab yang diberikan akan dilunaskan dengan sebaik-baiknya tanpa mengharapkan sebarang pujian atau anugerah. Saya ikhlas dengan setiap naskhah yang diberikan tanpa mengharapkan apa-apa. Saya tidak pernah diminta dipuji kerana cinta dan sayang kerja ini. Jadi saya akan lakukan yang terbaik demi kepuasan semua pihak.

“Alhamdulillah apabila setiap drama yang dibintangi menjadi sebutan, saya jadi lebih seronok dan bersemangat. Kejayaan ini lebih membuatkan saya mahu melakukan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Jelas Shukri, dia juga mahu buktikan kepada khalayak kerjaya lakonan ini bukan mudah dan berdasarkan paras rupa semata-mata.


SHUKRI Yahya.

“Kerjaya ini memerlukan bakat dan rupa paras bukan jaminan mutlak kejayaan seseorang pelakon. Setiap kejayaan yang diraih bukan usaha seorang tetapi membabitkan semua yang ada di lokasi penggambaran.

“Saya bersyukur dengan sambutan yang diberikan peminat. Sejujurnya, saya tidak menyangka drama yang dibintangi mendapat sambutan luar biasa sehingga menjadi trending di Twitter.

“Bukan saya yang menjadikan watak itu sempurna tetapi kru produksi yang bertungkus-lumus siang malam bagi memastikan ia berjaya. Saya amat menghargai mereka yang sentiasa menyokong. Ternyata penceritaan yang cuba disampaikan berjaya diterjemah dengan baik,” katanya.

Kontroversi

Siapa sangka, berserta kemanisan yang dikecapi, nama Shukri tiba-tiba menjadi bualan ‘panas’ dengan cerita kurang molek apabila paparan skrin perbualannya dengan seorang wanita tular di laman sosial.

Wanita yang dikenali sebagai Sarah Danielle itu mendedahkan perbualannya dengan seorang lelaki didakwa Shukri menerusi aplikasi WeChat. Antara lain, perbualan itu menunjukkan kononnya aktor itu cuba menggoda wanita terbabit selain mengeluarkan perkataan lucah.

Tidak mudah melatah, pelakon berusia 29 tahun itu tenang tatkala berdepan ujian. Katanya, apabila terpalit cerita kurang enak dia lebih selesa berdiam diri kerana tidak mahu memanjangkan isu itu.

“Saya bersyukur kerana apa yang berlaku tempoh hari tidak memberi impak negatif terhadap kerjaya seni dan rumah tangga. Namun apa yang saya belajar, saya perlu sentiasa berjaga-jaga kerana tidak semua menyukai apa yang kita lakukan.

“Saya akui perkara itu jugalah yang membuatkan saya takut apabila perlu berdepan dengan cerita yang tidak benar. Mujur saya tidak cepat melatah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, banyak lagi drama lakonannya dan filem akan ditayangkan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 4:43 AM