Firdaus Hashim


TEKA-TEKI mengenai kedudukan Pahang dalam saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 akhirnya terjawab apabila Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) tetap dengan pendirian untuk menolak mewakili Malaysia musim depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar) berkata, juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menjadi wakil tunggal negara bersaing di kejohanan kedua tertinggi antara kelab Asia itu selepas saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Pasukan naib juara Liga Super 2017, Pahang dengan ini secara rasminya tidak akan mewakili Malaysia untuk pertandingan Piala AFC 2018.

“Ini kerana sehingga tarikh tutup yang ditetapkan iaitu pada 30 November (Khamis lalu), FAM tidak menerima surat balasan atau sebarang maklum balas daripada PBNP untuk menyertainya.

“Mengikut peraturan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), kekosongan slot ditinggalkan Pahang itu tidak boleh diisi oleh mana-mana pasukan lain,” katanya menerusi kenyataan media yang dipaparkan di laman rasmi Facebook FAM, hari ini.

Sebelum ini, PNBP membuat keputusan mengejut apabila menolak tawaran FAM menggantikan Kedah sebagai wakil Malaysia bersaing dalam Piala AFC dengan memberi alasan ingin memberi fokus kepada saingan liga tempatan.

Keputusan itu nyata tid ak disenangi pelbagai pihak terutamanya Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila menyifatkan penolakan PBNP itu sebagai suatu kerugian kepada bola sepak tanahair.

Malah, PBNP turut diberi tempoh seminggu untuk menilai semula keputusan mereka dan sekiranya masih enggan berganjak tindakan berat bakal menanti skuad Tok Gajah dengan kes berkenaan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin FAM untuk tindakan selanjutnya.

Jelas Hamidin lagi, sekiranya JDT berjaya melepasi pusingan kelayakan ACL yang akan berlangsung Februari nanti, slot Piala AFC pula akan diserahkan kepada Selangor yang kini berada dalam senarai menunggu.

Majlis undian ACL dan Piala AFC akan berlangsung di AFC House, Bukit Jalil, Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 2:06 PM