KEMALANGAN membabitkan sebuah lori dengan tiga kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong yang mengakibatkan tiga maut di tempat kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


TIGA maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler di Jalan Kuala Kangsar - Gerik, berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong, 11 pagi, hari ini.

Maklumat diterima dari Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak memberitahu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu adalah sebuah treler membawa muatan kepala ikan, Honda HRV, Nissan Grand Livina dan Toyota Hilux.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan 11.13 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, tiga yang maut itu adalah dari Honda HRV.

"Anggota mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia yang masih tersepit dengan menggunakan peralatan kecemasan sebelum kesemuanya berjaya dikeluarkan.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 4:19 PM