KEMUNCULAN Sherry dalam drama Syurga Yang Kedua bakal ubati rindu peminat.
HM Digital

Agak lama tidak muncul dalam drama, ramai beranggapan pelakon cantik Sherry Ibrahim merajuk.

Malah, ada juga yang terfikir mungkin cinta terkandas di tengah jalan membuatkan pelakon berusia 34 tahun itu menyepi seketika.

Menyangkal dakwaan itu, Sherry menjelaskan dua tahun kebelakangan ini dia menumpukan perhatian terhadap perniagaan yang diusahakan dan mengembangkan sayap sebagai pengacara.

“Saya tak pernah merajuk atau sengaja menyepi. Saya sebenarnya fokus memajukan produk kosmetik Deeja yang memerlukan pembabitan 100 peratus. Malah, saya turun padang untuk setiap acara selain menjadi penaja utama sebuah konsert di pantai timur.

“Selain itu, saya mengacara program di Astro Oasis. Disebabkan komitmen ini, saya tidak dapat menerima tawaran berlakon. Saya tidak mahu menyusahkan produksi jika perlu mengikut jadual saya. Apatah lagi saya tahu kemampuan diri ketika bekerja.

“Jadi, ada baiknya saya fokus satu per satu. Apabila perniagaan sudah stabil, baru saya boleh menarik nafas lega dan kembali berlakon. Sepanjang dua tahun ini banyak tawaran drama tetapi saya tolak secara baik,” katanya.

Bagi mengubat kerinduan peminatnya, Sherry muncul dalam drama Syurga Yang Kedua yang mula ditayangkan di saluran Astro Prima hari ini.

“Tawaran ini tepat pada waktunya. Kebetulan segala aktiviti membabitkan produk sudah selesai, jadi saya terima tawaran ini. Agak lama juga saya tidak terbabit dengan penggambaran. Tipu kalau saya kata tak rindu berlakon tetapi nak buat macam mana saya perlu fokus yang lebih utama.

“Kalau nak kata kekok, tidak juga. Cuma, watak kali ini berbeza daripada yang pernah saya bawa. Jadi, perlu teliti dalam setiap babak. Tambahan pula, drama ini berkisar kehidupan poligami, jadi ia berat,” katanya.

Pernah menjayakan drama bersiri panjang Cinta Ibadah yang turut menampilkan ramai pelakon, Sherry berkata dia tidak ada masalah dengan situasi itu.

“Saya rapat dengan semua pelakon. Walaupun drama ini dibahagikan kepada dua pasukan, saya okey dan tak ada masalah. Lagipun, ini bukan kali pertama saya menjayakan produksi yang membabitkan ramai pelakon.

“Setiap pelakon ada watak masing-masing. Malah kebanyakan mereka orang lama dalam industri. Saya sangat hormat dan berbesar hati dapat berlakon dengan mereka,” katanya.

Mengulas kerjaya nyanyian pula, Sherry yang pernah menghasilkan lagu Seikhlas Cinta dalam perancangan merakamkan single kedua.

“Insya-Allah, lagu kedua bakal menyusul tahun hadapan. Namun, sekarang masih dalam proses perancangan dan perbincangan.

“Jika single pertama berentak balada, untuk lagu kedua ini saya inginkan kelainan iaitu lebih ‘catchy’. Kalau dapat, saya memang suka. Jadi, saya masih mencari lagu yang sesuai,” katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan pihak pengurusan Fastyle, Sherry menjelaskan dia sudah dua tahun tidak bersama syarikat yang turut menguruskan kerjaya pelakon Fattah Amin.

“Sudah lama saya tinggalkan Fastyle selepas putus dengan Fattah. Jadi, saya tak mahu masuk campur atau dikaitkan dengan mereka lagi,” katanya ringkas. -Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 5:40 AM