AMALINA menunjukkan tanda di badan Muhammad Adam Faliq yang menghidap MPS 1.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Pasir Mas: Lebih setahun suami isteri dari Kampung Semuba Chetok di sini, menunggu untuk mempunyai cahaya mata bagi menyerikan rumah tangga yang dibina mereka pada 2014.

Doa dan harapan dipanjatkan ke hadrat Ilahi demi impian itu sehingga Allah SWT mengurniakan bayi lelaki diberi nama Muhammad Adam Faliq kini berusia setahun tujuh bulan.

Amalina Azimin, 25, dan suami, Muhamad Hasikin Rosli, 26, menyambut kelahiran anak sulung itu dengan penuh rasa syukur serta girang, malah Muhammad Adam Faliq ditatang bagai minyak yang penuh.

Namun, kegembiraan mereka diragut duka apabila bayi itu disahkan menghidap Mucopolysaccharidosis Type 1 (MPS 1) atau Hurler Syndrome iaitu sejenis penyakit kekurangan enzim di dalam badan.

Disebabkan penyakit itu, tumbesaran Muhammad Adam Faliq mengalami banyak gangguan, malah bayi itu masih tidak dapat berjalan mahupun bercakap walau sepatah perkataan mengikut bayi seusianya.

Amalina berkata, anak kesayangannya disahkan berpenyakit itu yang sangat jarang dihidapi bayi di Malaysia ketika berusia empat bulan dan disahkan pakar perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Ogos lalu.

“Ibu mana tidak terkejut apabila bayi yang diharap menjadi permata dalam keluarga, dikandung sembilan bulan 10 hari dilahirkan normal, namun ada penyakit yang jarang dijumpai.

“Saya sedih mengenang keadaannya yang tidak dapat membesar seperti bayi lain. Kepalanya besar kerana mempunyai lebihan air, malah Adam juga hilang deria pendengaran dan bola matanya yang sebelum ini berwarna hitam, bertukar kelabu, beberapa bulan lalu.

“Hatinya juga mula membengkak dan pakar memaklumkan kami bahawa keadaan itu adalah simptom diakibatkan MPS 1 dihidapinya,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya, semalam.

Menurutnya, rawatan memasukkan enzim ke dalam tubuh Muhammad Adam Faliq satu-satunya cara untuk mengurangkan penderitaan bayi itu dan mengelak organ tubuh yang lain rosak.

Namun, Amalina berkata, kos yang terlalu tinggi iaitu mencecah RM270,000 untuk tempoh setahun menyulitkan mereka memenuhi rawatan berkenaan.

Katanya, dia dan suaminya tidak mampu menanggung kos sebanyak itu dan kini, Muhammad Adam Faliq hanya mendapatkan rawatan biasa daripada pakar di HUSM, selain Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

“Sepatutnya anak saya perlu dimasukkan enzim dalam badan, setiap minggu. Malangnya, kami tidak mempunyai wang untuk menanggung kos itu. Simpanan pun banyak dihabiskan untuk rawatan lain.

“Suami hanya bekerja sebagai ejen hartanah dengan pendapatan RM1,000 sebulan manakala saya tidak bekerja kerana perlu menumpukan perhatian 24 jam kepada anak.

“Saya dan suami akan tetap usahakan supaya dia sembuh dan sanggup berkorban apa saja,” katanya yang mengalu-alukan sumbangan orang ramai ke akaun CIMB 7623404824 atas nama Muhammad Adam Faliq Muhamad Hasikin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 6:43 AM