NURHASIMAH Khalid, 63, ibu kepada Ahmad Nor Al-Zaidin Ahmad Azzudin, 35, menyiram air mawar ke pusara anak dan menantunya di Tanah Perkuburan Islam Teluk Baharu Tapak Semenang hari ini. FOTO BERNAMA
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


“Semua sudah siap termasuk baju bersanding dan nikah, barang hantaran serta kad kahwin. Hasrat keluarga mahu melihat kami sama-sama bersanding Mac ini tak kesampaian apabila Atik sudah tiada."

Demikian kata Nur Azmira, kakak kepada Atik atau Nor Azira Ahmad Azzudin, 24, yang maut dalam kemalangan di Jalan Bota Kanan-Teluk Intan berhampiran Kampung Teluk Memali di Bota, pagi ini.

Lebih memilukan, tragedi itu turut mengorbankan abang keempatnya, Ahmad Nor Al-Zaidin Ahmad Azzudin, 35, dan kakak iparnya, Norhaslina Abdul Razak, 27.

Menurut Nur Azmira, 26, mereka sudah merancang untuk melangsungkan perkahwinan serentak pada 17 Mac tahun depan dengan pasangan pilihan masing-masing.

"Dalam keluarga hanya tinggal kami berdua yang belum berkahwin, jadi keluarga sepakat melangsungkan majlis kami serentak dan akan bernikah sehari sebelum majlis bersanding," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tapak Semenang, di sini.

Nur Azmira berkata, adik bongsunya itu tinggal bersama ibu mereka, Nurhasmah Khalid, 63, dan arwah disifatkan sebagai seorang yang periang dan manja.

Katanya, tunang adik bongsunya yang berkerja di Perlis juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

"Atik seperti biasa dan ada beritahu dia berdebar-debar menanti majlis. Saya sedih mengenangkan hasrat kami mahu bersanding sekali tidak kesampaian," katanya.

Sementara itu Nur Azmira berkata, urusan mengenai anak abangnya, Nur Damia Qistina, 4, yang menjadi yatim piatu sekelip mata masih belum diputuskan lagi.

"Mak sudah beritahu kepada anak abang yang 'mama, papa dan acu (Nor Azira) sudah tiada namun Damia seperti biasa dan mengatakan ibu bapanya akan balik nanti," katanya.

Jenazah ketiga-tiga mangsa selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Teluk Bharu pada 7.40 petang.

Terdahulu, jenazah ketiga-tiga mangsa dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Changkat Melintang kira-kira 5 petang selepas selesai proses bedah siasat.

Jenazah tiba dengan menaiki tiga van jenazah di tanah perkuburan kira-kira 7.15 petang dan sebelum itu jenazah disembahyangkan di surau Hospital Changkat Melintang.

Berita berkaitan

Tiga maut, kemalangan lori dengan kereta

[UPDATE] Mangsa pegawai khas kepada Exco Perak

'Ina cium saya berulang kali'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 9:26 PM