Hanneeyzah Bariah Baharin


LELAKI bertindak menyamar sebagai jemaah wanita dengan mengenakan telekung dan solat Subuh bersama-sama sebelum melarikan beg tangan jemaah di Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, semalam.

Kejadian 6.15 pagi di ruang solat wanita masjid berkenaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Penyelia masjid berkenaan, Mohd Sukhri Hashim berkata, rakaman CCTV itu menunjukkan seorang lelaki bertindak memakai telekung sebelum memasuki ruang solat wanita dan berpura-pura solat di saf belakang.

Menurutnya, sebaik jemaah wanita sujud selepas selesai bacaan doa Qunut, lelaki berkenaan terus bertindak mengambil beg jemaah yang berada di tepi sekali di saf hadapannya.

"Lelaki berkenaan yang dipercayai warga tempatan itu terus melarikan diri menaiki Perodua Myvi bersama seorang lagi rakannya yang menunggu di pekarangan masjid," katanya.

Mohd Sukhri berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mendakwa kerugian kira-kira RM1,000 termasuk hilang telefon bimbit dan wang tunai.

Menurutnya, kejadian curi beg tangan jemaah di masjid itu adalah yang kali ketiga berlaku pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 7:15 PM
RAKAMAN CCTV yang menunjukkan suspek berpura-pura sebagai jemaah wanita dan mengenakan telekung sebelum membawa lari beg tangan jemaah yang sedang menunaikan solat Subuh. FOTO Ihsan FB Gabungan Anak Terengganu
RAKAMAN CCTV yang menunjukkan suspek berpura-pura sebagai jemaah wanita dan mengenakan telekung sebelum membawa lari beg tangan jemaah yang sedang menunaikan solat Subuh. FOTO Ihsan FB Gabungan Anak Terengganu