LEBIH biasa watak pembantu dan antagonis, kini jadi heroin pula.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Biarpun lahir dalam keluarga seni, ia bukan batu loncatan buat pelakon baru Aprena Manrose, 24.

Apatah lagi, Aprena adalah anak bongsu penyanyi dangdut Iwan Syahman bersama bekas isteri, pelakon dan penerbit drama Allahyarham Rosnah Mohd Noor.

Semakin rancak merencana karier seni, Aprena kini berpeluang tampil selaku teraju utama drama slot Akasia siaran TV3.

Berganding dengan pelakon Shukri Yahaya, mereka kini rancak menjalani penggambaran drama Tiada Arah Jodoh Kita arahan Eoon Shuhaini.

Pemilik nama sebenar Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman ini berkata, rezeki membintangi drama untuk slot Akasia itu tidak pernah diduga.

“Saya sedar masih terlalu baru dalam bidang ini dan bermula pun dengan watak pembantu serta antagonis.

“Jadi, saya sama sekali tidak menduga secepat ini mendapat kepercayaan bawa watak heroin.

“Apapun, saya percaya rezeki ini diperoleh kerana restu suami, Mohd Afiq Hazman dan bapa saya,” katanya.

Aprena atau mesra disapa Baby berkata, sebelum ini bapanya kurang selesa apabila dia dan kakaknya, Oktovia Manrose, 26, menceburi bidang seni.

“Maklum sajalah, papa sudah berhijrah ke arah dakwah. Jadi, secara tidak langsung papa kurang selesa dengan minat kami. Begitupun, kini papa sudah boleh terima dan berlapang dada.

“Justeru, saya bersyukur perjalanan kerjaya lancar dan dapat peluang berlakon watak utama,” katanya.

Terdahulu, Aprena tampil cemerlang dalam drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin siaran TV3 dan Duda Pujaan Dara menerusi Astro.

Tidak ketinggalan, dia juga melakonkan watak pembantu untuk drama Cinta 11 Syarat, Perempuan Paling Bahagia, Gerak Khas, Tundukkan Playboy Itu dan Hati Belum Berkubur.

Mengulas lanjut drama Tiada Arah Jodoh Kita, Aprena berkata, kali ini dia perlu banyak bermain dengan emosi.

“Cabaran terbesar, saya kena banyak menangis dan ia tidak mudah. Lebih mudah melakonkan karakter antagnois berbanding protagonis.

“Apapun, saya kuatkan semangat untuk cuba merealisasikan watak Afia Awliya dalam drama ini.

“Apatah lagi, kata suami saya, peluang tidak datang selalu dan sampai bila mahu berada dalam zon selesa. Kalau mahu timba pengalaman, kenalah mencuba,” katanya.

Mengakui selesa bekerja bawah arahan Eoon, Aprena berkata, suasana kerjaya memainkan peranan pentinga dalam pembentukan watak pelakon.

“Saya bersyukur abang Eoon banyak membantu terutama babak yang banyak bermain dengan emosi.

“Malah, dia menegur secara baik dan tidak pernah menempik. Setakat ini penggambaran berlangsung dalam keadaan baik dan tenang,” katanya yang tidak suka bekerja dalam keadaan tertekan dan tegang.

Apapun, Aprena berkata, itu tidak bermakna dia besar kepala atau tidak boleh dimarahi tetapi lebih selesa menerima teguran secara baik.

Tak ikut suami ke Makkah

Disebabkan masih terikat dengan komitmen penggambaran drama Tiada Arah Jodoh Kita, Aprena terpaksa berkorban dengan tidak menyertai suaminya mengerjakan umrah.

“Suami saya mahu mengerjakan umrah pada bulan ini bagi menunaikan nazarnya.

“Ikutkan hati, siapa tidak mahu jadi tetamu Allah SWT. Apapun, saya perlu akur dengan tuntutan kerja. Sebaik bersetuju menjayakan drama ini, secara automatik saya ada kontrak dengan produksi,” katanya.

Menurut Aprena lagi, apapun suaminya sudah memberikan keizinan dan akan mendoakan yang terbaik buatnya di Tanah Suci.

Bersyukur dipertemukan jodoh dengan insan yang memahami, Aprena berkata, dia bertuah dikurniakan keluarga mentua yang penyayang.

“Mentua saya sangat mengambil berat dan berjiwa penyayang. Setiap hari mereka akan menghubungi saya untuk bertanya khabar dan ambil tahu perjalanan kerja.

“Dengan semangat dan sokongan diberi mereka, saya semakin berkeyakinan dan gigih bekerja,” katanya.

Aprena mengakui dia juga mendapat sokongan dan galakan padu daripada kakak serta sepupunya, Uqasha dan Nelydia Senrose.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 6:32 AM