Mohd Khalil (gambar kecil)
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


POLIS Johor sudah mengenal pasti empat suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan tragis seorang lelaki di stesen minyak Taman Pelangi, Johor Bahru, malam semalam.

Bagaimanapun, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, usaha mengesan semua suspek itu masih giat dijalankan.

"Polis berjaya mengenal pasti empat suspek yang terbabit dalam kes ini dan usaha sedang giat digerakkan bagi mengesan dan menahan mereka.

"Orang awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini diminta menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau hubungi Hotline Polis Johor di talian 07-2212999 dengan kadar segera," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati BMW 520i yang bernombor pendaftaran WB79L tidak digunakan oleh pemiliknya.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati BMW 520i bernombor pendaftaran WB79L adalah menggunakan nombor pendaftaran yang bukan miliknya.

"Pemilik asal berjaya dikesan dan selepas temubual dijalankan kita mendapati dia tiada kaitan dengan kes ini," katanya.

Pada masa sama, Mohd Khalil turut mengesahkan mangsa maut akibat tikaman selepas hasil bedah siasat dijalankan ke atas mayat mangsa mendapati punca kematian adalah luka tikaman ke jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 8:00 PM