BERSYUKUR kerja kerasnya buka mata banyak pihak.
Syafil Syazwan Jefri


Menerima Anugerah Ikon FiTA pada acara Anugerah KaryaOne 2017 baru-baru ini pastinya umpama penghargaan buat penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir.

Bekas pelajar Fakulti Filem, Teater & Animasi (FiTA) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu tidak pernah mengejar sebarang anugerah mahupun gelaran, namun bersyukur kerana kerja kerasnya membuka mata ramai.

“Sepanjang berkecimpung dalam karier, saya tidak pernah mengejar sebarang anugerah mahupun penghargaan. Saya hanya lakukan perkara yang saya suka dan bersyukur apabila menerima penghargaan ini,” katanya.

Mengenai sumbangan yang akan diberikannya kepada fakulti tempat dia menuntut ilmu itu, Dina hanya ingin terus melakukan sesuatu yang positif.

“Apa yang pasti, saya akan terus lakukan untuk fakulti dan industri seni tanah air ketika ini. Saya tidak boleh menjanjikan apa-apa, tapi biarlah ia berlaku seiring dengan peredaran masa,” katanya.

Dina juga berterima kasih kepada pihak fakulti terutama barisan pensyarah yang tidak pernah berhenti dari menurunkan ilmu.

“Tanpa bimbingan pensyarah, tentunya saya tidak akan mencapai apa yang dikecapi hari ini. Walaupun kadang-kadang, ada tugasan yang diberikan pensyarah itu sangat mencabar, tapi semua itu atas dasar mendidik.

“Setiap didikan itu jugalah yang membezakan antara orang yang berilmu dan sebaliknya. Orang yang berilmu dan belajar berlandaskan empat perkara iaitu bakat, pemerhatian, pengalaman dan pendidikan,” katanya.

Ditanya, apa lagi yang ingin digapainya dalam kerjaya dan kehidupan, Dina mengakui masih banyak yang ingin dilakukannya.

“Ada beberapa impian yang belum dicapai dan biarlah ia disimpan sebagai rahsia peribadi. Apa yang pasti, banyak lagi benda baru yang ingin dilakukan,” katanya.

Terbaru, Dina kini menjalani penggambaran untuk program travelog di samping masih mengendalikan segmen petang di stesen radio Era FM.

“Program travelog itu masih perlu dirahsiakan. Insya-Allah, apabila diizinkan oleh produksi, saya akan kongsikan mengenainya nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 5:22 AM