BAGI Tash komitmen dalam karier paling utama dan tidak perlu labelkan seseorang artis.
Norhayati Nordin


Sikap melabelkan status seleb­riti dalam beberapa kategori seperti popular, suam-suam kuku dan sendu bukanlah perkara asing dalam industri hiburan tanah air.

Ada juga segelintir pihak yang suka pilih bulu. Bagi selebriti popular, layanan diberikan hebat manakala yang suam-suam kuku dan sendu pula biasa saja.

Mengulasnya, pelakon baru meningkat naik, Tash Yong, 27, berkata, dia sama sekali tidak berkecil hati dengan perkara itu.

Katanya, sudah lumrah manusia untuk menyukai apa yang mereka pilih. Jadi, bergantung pada diri masing-masing.

Bagi saya, sebenarnya kita tidak perlu melabelkan status seseorang artis. Apa yang paling utama, komitmen mereka dalam karier.

“Lagipun, kalau itu dilakukan ia secara tidak langsung boleh membuatkan ada yang berkecil hati.

“Industri hiburan kita tidaklah sebesar mana. Daripada melabelkan artis sedemikian, lebih baik memberi sokongan sama rata,” katanya.

Tash atau nama sebenar­nya Nur Natasha Shazlia Rosli berkata, persepsi begitu tidak perlu wujud.

“Setiap selebriti itu ada kelebihan yang tersendiri. Jadi, rasanya lebih baik semaikan sikap hormat-menghormati.

“Tidak kira status senior atau junior, popular, suam-suam kuku atau sendu, sikap hormat antara satu sama lain yang lebih penting,” katanya.

Tash yang mula dikenali dengan drama Menantu Ting Tong di TV3 berkata, dia lebih selesa buat hal sendiri.

“Apabila di lokasi penggambaran, saya tidak suka mengambil tahu hal orang lain dan selalunya akan mengelak.

“Ini kerana saya tidak mahu menjadi mangsa nama dipetik sekali gus dikaitkan suka bercerita hal orang.

“Pada saya, apa yang paling utama tingkatkan usaha untuk persembahkan mutu lakonan terbaik. Itu yang penting,” katanya.

Tash yang baru selesai penggambaran drama 13 episod, Orang London Balik Kampung untuk RTM berkata, sebagai pelakon masih banyak perlu diperbaikinya.

“Tidak dinafikan untuk tempoh lima tahun menceburi karier seni ini, saya belum berada pada tahap stabil.

“Banyak yang perlu saya perbaiki dalam lakonan terutama aspek menjiwai watak,” katanya.

Menurut anak sulung komposer Rosli Selasih ini, sentiasa beri yang terbaik dalam lakonan penting untuk bersaing secara sihat.

“Perkembangan industri hiburan tanah air yang makin rancak sekarang membuka peluang besar buat bakat baru.

“Jadi, untuk memastikan nama dapat bertahan komited pada kerja lakonan diterima perlu diutamakan.

“Apatah lagi, untuk pelakon seperti saya yang nama belum cukup kukuh ini. Saya tidak boleh berasa cepat selesa,” katanya.

Tash yang kini sibuk di lokasi drama Geng Tadarus sebanyak 26 episod berkata, tidak mudah juga untuk mendapatkan sesuatu peluang.

“Oleh itu, dalam kerja saya pastikan bersungguh-sungguh dan tidak main-main walaupun berlakon watak pembantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 1:02 AM