Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


“€œSeperti hendak gugur jantung saya apabila mendapat panggilan telefon daripada anak saudara mengatakan mereka terbabit kemalangan dan kenderaan mereka terjunam ke dalam parit.

“Mereka minta saya bergegas ke lokasi kemalangan kerana sudah beberapa jam terperangkap dalam kawasan parit itu,” kata ibu saudara kepada tiga beradik yang terbunuh dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan, dekat Kampung Batu Putih, Kuantan, hari ini.

Menurutnya, dia dihubungi anak saudaranya Nurul Aliyani Zawawi yang terselamat selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Chery dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam parit.

Dia yang ingin dikenali sebagai Mama, 49, berkata, sebaik menerima panggilan kira-kira jam 7 pagi dia segera meminta menantu lelakinya bergegas ke Kuantan untuk mencari mereka.

“€œKetika dalam perjalanan ke lokasi kejadian kami dapat panggilan telefon dari Aliyani mengatakan mereka sudah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Jadi saya terus ke sana (hospital),”€ katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik dan Patologi HTAA.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, Wan Nor Afifah Wan Mohd Kamaruzzaman, 28, Wan Nor Athirah, 27, dan Wan Mohd Mahathir, 14, maut di tempat kejadian selepas dikatakan cuba mengelak sebuah kenderaan lain di depan kenderaan mereka sebelum terbabas.

Difahamkan Aliyani dan ibunya Salma Ibrahim kini dirawat di unit kecemasan HTAA sementara tiga beradik yang terbunuh sedang dibedah siasat.

Mama memaklumkan tiga anak saudaranya menghantar ibu bapa serta adik perempuan mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengerjakan umrah, pada kelmarin sebelum singgah ke rumah sepupu mereka yang menetap di Melaka.

“Saya tak tahu bagaimana nak maklumkan kepada keluarga mereka yang sedang mengerjakan umrah. Mereka macam anak saya juga kerana kami tinggal di kampung berdekatan di Binjai, Kemaman,”€ katanya.

Berita berkaitan:

3 beradik ajal bersama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 2:13 PM